SUKAN badminton sentiasa memberikan kegembiraan buat Malaysia terutamanya di temasya besar seperti Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik.
Pada Sukan Paralimpik 2024 di Paris, Perancis. Kita bergembira apabila Cheah Liek Hou berjaya membawa pulang pingat emas dalam acara perseorangan lelaki SU5.
Malaysia berpeluang untuk membawa dua pingat daripada acara tersebut namun nasib tidak menyebelahi Fareez Anuar apabila tumpas dalam penentuan pingat gangsa kepada wakil Indonesia iaitu Dheva Anrimushti 21-17, 19-21, 12-21.
BACA LAGI: Terlalu fikirkan pingat punca Fareez Anuar terlepas gangsa Paralimpik ke tangan pemain Indonesia
BACA LAGI: [VIDEO] Dah macam Zii Jia, Muhammad Fareez bergaya tumpaskan atlet Jepun misi ke final Paralimpik
Persembahan Fareez dipuji ramai selepas berjaya melepasi kumpulan maut.
Walaupun hatinya kecewa gagal membawa pulang pingat, tapi Fareez nyata tidak menyangka dapat melangkah jauh sehingga ke penentuan pingat gangsa lebih-lebih selepas diletakkan dalam kumpulan 'maut' pada peringkat awal.
"Saya tidak menyangka saya akan sampai ke tahap ini. Setelah beberapa kemenangan yang saya peroleh, berbekalkan kemahiran dan pengalaman sepanjang latihan saya bersama Majlis Sukan Negara (MSN) telah membawa haluan saya ke sini," kata Fareez.
Selepas hampa di Paris, Fareez tidak patah semangat dengan dia ingin kembali ke Sukan Paralimpik di Los Angeles, Amerika Syarikat dengan membawa pulang pingat emas untuknya.
Tetapi dalam masa yang sama, dia turut akan membawa legasi dibina Cheah Liek Hou pada temasya tersebut. Dengan peluang Liek Hou untuk terus beraksi di Los Angeles tidak dapat dipastikan kerana faktor usia, pastinya Fareez dijadikan sandaran seterusnya buat Malaysia.
Fareez (kiri) menganggap Liek Hou (kanan) sebagai sifunya.
"Untuk sasaran pingat emas itu sememangnya impian dan sasaran setiap atlet. Jadi kita tahu bukannya mudah untuk dapatkan pingat emas. Yang paling penting, bagi saya adalah perlu dan kena usaha lebih keras untuk mendapatkan pingat yang kita mahukan.
"Bagi saya, bukan mudah untuk teruskan legasi Cheah Liek Hou. Saya yakin, peminat badminton mengharapkan sesuatu (daripada saya). Apa yang saya boleh katakan yang saya akan melakukan yang terbaik untuk diri saya," kata Fareez kepada Majoriti.
Di luar gelanggang, Fareez mengaku yang dia adalah seorang yang pemalu. Namun begitu, dia tidak membiarkan sifat pemalu itu menghantuinya semasa beraksi.
Sebaliknya, dia mengeluarkan adrenalinnya yang meminat filem-filem aksi untuk diterjemahkan sebagai tenaga apabila menentang lawan terutamanya pemain lebih hebat daripadanya.
Akan tetapi, dia mengakui masih mempunyai kelemahan apabila berdepan tekanan. Dalam tempoh masa empat tahun sebelum Sukan Paralimpik 2028, Fareez mahu menjadikan kelemahannya itu bertukar menjadi satu kelebihan.
Pada usia 28, Fareez masih lagi belum merancang untuk berkahwin.
"Saya dapat rasakan kelemahan atau kekurangan saya adalah dari segi tidak dapat mengawal tekanan ketika di gelanggang. Dari segi pengalaman juga, saya masih belajar.
"Sebagai contoh, apabila saya ketinggalan mata terlalu jauh dengan pihak lawan, saya perlu perlahankan perlawanan supaya momentum pihak lawan akan terganggu. Itu adalah satu perkara yang saya belajar apabila beraksi di temasya besar seperti Sukan Paralimpik.
"Paling penting bagi saya adalah membaiki kualiti fizikal dan mental dan tingkatkan tahap kedua-duanya selepas ini," ujar Fareez yang menggemari masakan berasaskan sup.
Selepas Sukan Paralimpik, Fareez kini giat menjalani latihan untuk menjelang pertandingan seterusnya.
Akan tetapi, dia masih tidak dapat pastikan pertandingan mana akan disertainya kerana pihak MSN belum mengesahkan kepadanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram