SAINGAN Liga Super musim 2024/2025 hanya akan bermula pada Mei selepas Malaysian Football League (MFL) membuat keputusan untuk mengubah kalendar bola sepak tempatan.
Tindakan tersebut bertujuan untuk menyamakan kalendar bola sepak tempatan dengan jadual pertandingan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang diadakan secara rentas tahun atau cross-year.
Namun begitu, keputusan tersebut memberikan sedikit masalah buat skuad kebangsaan apabila tidak ada sebarang persembahan kompetitif sehingga pertengahan tahun.
Ia memberikan masalah kerana Malaysia akan mengharungi aksi berganda atau double-header bertemu Oman dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Mac.
Dalam analisis ringkas Majoriti kali ini, kita akan merungkai tiga cara yang boleh digunakan oleh Kim Pan-gon dalam membentuk skuad ampuh untuk berdepan Oman:
1. Nilai prestasi menerusi persembahan pra-musim
Umum mengetahui yang ketika pramusim, kecergasan para pemain akan berada pada tahap yang kurang baik kerana berehat panjang serta tiada aksi kompetitif.
Oleh itu, kelab-kelab lazimnya akan mengadakan aksi persahabatan pramusim untuk menajamkan kecergasan pemain menjelang musim bermula.
Pan-gon boleh turun ke seberapa banyak aksi persahabatan untuk melihat tahap pemain yang hendak dipanggilnya sebelum senarai dikeluarkan.
Oleh kerana tiada aksi kompetitif, ini saja pilihan terbaik untuk Pan-gon menyaksikan para pemainnya beraksi bersama kelab masing-masing.
Dalam situasi ini, pujian harus diberikan kepada kelab seperti Terengganu FC, Selangor FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang sudah memulakan latihan pramusim mereka.
Dengan permulaan awal dilakukan, kelab-kelab ini dapat membaiki tahap latihan para pemain mereka sekali gus memberikan manfaat kepada skuad kebangsaan.
Tidak terkejut jika panggilan Harimau Malaya seterusnya akan tertumpu kepada para pemain daripada kelab ini kerana persediaan pramusim yang dilakukan awal oleh mereka.
Kecergasan Safawi di pramusim boleh bantu dia kekal di skuad Harimau Malaya. — Facebook/Terengganu FC
2. Guna skuad sedia ada
Jika Pan-gon tidak mahu pening-pening dalam hal memanggil pemain bagi aksi bertemu Oman, dia boleh gunakan saja skuad yang dipanggilnya untuk Piala Asia yang lalu.
Tanpa perlu mengubah skuad yang sedia ada, Pan-gon boleh gunakan kesemua 23 pemain untuk aksi bertemu Oman walaupun diakui terdapat beberapa nama tidak beraksi dengan baik.
Jika Pan-gon kekal menggunakan skuad sama, ia tidak akan menganggu keserasian pasukan kerana mereka telah berlatih bersama sejak Januari baik ketika di Malaysia atau Qatar sewaktu kejohanan berlangsung.
Malah, rata-rata pemain telah ada match fitness yang baik. Jadi, Pan-gon tidak perlu risau mengenai isu pemain 'berkarat' kerana mereka sudah berada pada tahap terbaik.
BACA LAGI: [VIDEO] Seperti fotokopi CR7, pemain kelahiran Perancis hasilkan 2 gol 'knuckle-ball' dalam 3 minit
Skuad Piala Asia Harimau Malaya boleh dibawa terus untuk aksi bertemu Oman. — FAM
3. Teroka senarai menunggu
Setiap kali panggilan skuad kebangsaan dilakukan, sudah pasti terdapat senarai menunggu yang bersedia memanggil pemain jika terdapat kecederaan sebelum satu-satu hari perlawanan bermula.
Mungkin untuk aksi berganda bertemu Oman, Pan-gon boleh meneroka senarai nama yang ada dalam senarai menunggu untuk menggantikan beberapa nama yang tidak beraksi baik pada panggilan sebelum ini.
Shahrul Nizam antara nama yang boleh dipanggil bertemu Oman. — Facebook/Terengganu FC
Umum mengetahui nama-nama seperti Natxo Insa dan Romel Morales antara pemain yang kurang cemerlang ketika bersama Malaysia. Oleh itu, Pan-gon boleh cuba mencari pengganti mereka dalam senarai menunggu.
Macam mana pun, Pan-gon sudah mempunyai mekanisme untuk memanggil pemain dan cuba mengatasi situasi ini sebelum turun bertemu Oman. Yang pasti, kita sebagai menyokong akan terus mempertahan kepimpinan pengendali Korea Selatan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram