MUSIM baharu Liga Super semakin menghampiri kita dengan sepak mula akan bermula pada bulan Mei kelak. Pelbagai perpindahan menarik dilakukan oleh kelab-kelab untuk menguatkan skuad.
Selain daripada perpindahan tetap yang dilakukan, kita turut menyaksikan kelab-kelab turut melakukan pinjaman pemain dari seteru Liga Super mereka.
Sebagai contoh, duo pemain sayap Safawi Rasid dan Akhyar Rashid menyertai Terengganu FC dari Johor Darul Ta’zim (JDT) sementara Sikh Izhan Nazrel berkelana ke Penang FC dari Selangor FC.
Perpindahan pinjaman tersebut hadir dengan dua syarat berbeza. Safawi dan Akhyar tidak dibenarkan menentang JDT sementara Sikh Izhan boleh bertemu Selangor.
Kenapa dua perjanjian berbeza boleh diadakan dalam liga kita? Satu kelab boleh menghalang pemain daripada menentang mereka dan juga sebaliknya.
Dalam analisis ringkas Majoriti kali ini, kita akan merungkai bagaimana perjanjian pemain pinjaman boleh diperkasa hingga tidak mengundang kecaman penyokong bola sepak tempatan lagi.
Apa JDT buat tak salah
Lazimnya apabila melibatkan peminjaman pemain, penyokong bola sepak tempatan akan mengecam tindakan JDT kerana sering mewujudkan gentlemen’s agreement.
Dalam perjanjian tersebut, setiap kelab yang meminjam pemain JDT tidak dibenarkan untuk menentang Harimau Selatan apabila bertemu. Namun begitu, tindakan tersebut dianggap berat sebelah oleh penyokong kelab lain.
Akan tetapi, apa yang JDT lakukan tidaklah salah. Ia tampak salah kerana kelab lain tidak mengenakan klausa sama seperti mereka lakukan.
Di England, saingan English Premier League (EPL) secara jelas mengenakan peraturan tidak membenarkan satu-satu pemain beraksi menentang kelab asal sekiranya dipinjam keluar.
BACA LAGI: Safawi mula tunjuk taring tapi kehilangan penyerang import jadi tanda tanya
David Raya tidak boleh bermain ketika Arsenal bertemu Brentford. — Agensi
Ia merupakan peraturan tetap oleh EPL dan bukannya klausa yang diletakkan oleh kelab dalam perjanjian mereka. Maka, mahu atau tidak, mereka perlu ikut peraturan yang ditetapkan EPL.
Sebagai contoh, penjaga gol Arsenal, David Raya merupakan pemain pinjaman dari seteru iaitu Brentford, oleh itu dia tidak boleh diturunkan ketika bertemu The Bees.
Ibarat senjata makan tuan
Pendekatan yang dilakukan oleh JDT itu tidak salah begitu juga dengan perbuatan Selangor. Cara Selangor tidak menghalang pemain yang dipinjam beraksi menentang mereka.
Sebagai contoh, Sikh Izhan dan Hein Htet Aung turun beraksi menentang Selangor pada musim lalu ketika mereka mewakili Negeri Sembilan. Begitu juga Nor Hakim Hassan yang dipinjamkan ke Terengganu FC.
Namun begitu, pendekatan begini ibarat senjata makan tuan apabila pemain yang dipinjam keluar itu menghantui mereka. Malah, Selangor telah terkena situasi tersebut ketika Nik Sharif Haseefy menjaringkan gol menentang Gergasi Merah semasa dipinjamkan ke Terengganu.
BACA LAGI: Lepas beraksi di Piala Asia, Junior Eldstal kini kembali ke padang latihan JDT
Josip Stanisic merupakan pemain pinjaman dipinjam Bayer Leverkusen dari Bayern Munich. — Agensi
Dalam saingan Bundesliga, semua kelab tiada masalah untuk menggunakan pendekatan seperti Selangor lakukan. Pertahanan Bayern Munich, Josip Stanisic dipinjamkan ke Bayer Leverkusen dan pemain itu menjaringkan gol menentang mereka sewaktu menang 3-0 di Bay Arena.
Tiada kelabu, pilih hitam atau putih
Kedua-dua pendekatan yang diambil mempunyai baik dan buruknya, tetapi untuk mengelakkan daripada timbul sentimen berat sebelah dan tidak adil, adalah lebih baik supaya Malaysian Football League (MFL) menetapkan pendirian teguh.
MFL perlu meneliti dua bentuk pinjaman pemain ini dan kemudiannya menetapkan cuma satu bentuk mekanisme yang mesti dipakai oleh semua kelab.
Apabila ada satu pendirian berjaya diambil MFL, ia akan membuatkan badan penganjur liga itu lebih dihormati serta dapat menghapuskan keraguan penyokong terhadap mereka.
Dalam hal ini, MFL perlu pilih sama ada hitam atau putih saja dan bukannya kelabu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram