[VIDEO] Tak beri persembahan 100 peratus, Ten-hag berang Joshua Zirkzee, Marcus Rashford ambil sikap sambil lewa


  • Podium
  • Jumaat, 27 Sep 2024

Ten Hag tidak berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan oleh Zirkzee (kiri) dan Rashford (kanan) ketika menentang FC Twente.

ERIK ten Hag mempersoalkan mentaliti Manchester United selepas memulakan kempen Liga Europa dengan keputusan seri 1-1 berdepan FC Twente.

Jaringan pembukaan Christian Eriksen dinafikan Sam Lammers dalam separuh masa kedua, dengan pemain tengah United kelahiran Denmark itu mudah melepaskan kawalan bola sebelum gol penyamaan pelawat terhasil.

Ini bermakna The Red Devils kini gagal meraih kemenangan dalam aksi pembukaan pentas Eropah sejak empat musim yang lalu, tewas pada 2021-22, 2022-23 dan 2023-24 dan kini seri dalam aksi yang berlangsung awal pagi Khamis.

BACA LAGI: Tak berjaya 'trial' dengan Selangor FC, Kobe Jae Chong kini fokus karier baharu?

BACA LAGI: [VIDEO] Jaringan Brendan Gan imbau derita bersejarah Indonesia

Skuad kendalian Ten Hag bergelut selepas menjaringkan gol pertama dalam setiap aksi di pentas Eropah, menang sekali daripada enam perlawanan dalam saingan Liga Juara-Juara dan Liga Europa apabila membuka jaringan.

Ia merupakan perlawanan yang didominasi tuan rumah di Old Trafford, dengan United merekodkan 19 percubaan berbanding tujuh yang dilakukan lawan, namun kelemahan daripada sudut sentuhan penyudah menggagalkan mereka.

Twente menggunakan peluang sebaik mungkin dalam perlawanan dan Ten Hag menerima kesungguhan pelawat untuk tidak tercicir mata dalam perlawanan ini.

“Ia ibarat perlawanan hidup mati mereka, Twente berjuang habis-habisan dan kami tidak melakukan perkara yang sama.

“(Sebanyak) 92 peratus tidak cukup, anda perlu bermain 100 peratus, anda perlu mematikan perlawanan supaya lawan tidak bangkit.

"Kami sudah mendahului 1-0, namun jaringan kedua perlu dihasilkan dan cuba memastikan kemenangan.

“United perlu lebih klinikal, kami perlu lebih konsisten. Ia juga melibatkan mentaliti pasukan ini.

“Kami berada di tahap terbaik (mentaliti). Saya melihat betapa tinggi kadar kerja pasukan kami, tetapi berdasarkan perlawanan ini, terdapat kritikan buat pasukan.

“Tetapi ia bukan hanya melibatkan pasukan. Saya juga perlu cermin diri saya kerana saya turut terlibat,” kata Ten Hag.

Pengendali dari Belanda itu menyifatkan pasukannya sebagai terlalu lewa dan terlalu selesa dengan Joshua Zirkzee dan Marcus Rashford terlepas peluang untuk memenangi perlawanan pada lewat permainan.

"Kita perlu lebih klinikal dalam situasi sebegini. Saya tidak fikir malam ini sahaja masalahnya. Kita perlu teruskan, konsisten, dan itu juga soal mentaliti.

"(Mentaliti) sangat baik dari pasukan ini. Saya lihat dalam banyak perlawanan betapa tinggi kadar kerja keras kita, tetapi hari ini tidak.

United, yang berada di tangga ke-11 dengan tujuh mata daripada lima perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris, akan beraksi seterusnya menentang Tottenham Hotspur pada Ahad.

Mereka akan meneruskan kempen Liga Europa menentang Porto pada Khamis depan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram