Selangor ada DNA Jerman, jangan sesekali pandang sebelah mata gen import 3 lagi kelab Liga Super


  • Podium
  • Jumaat, 27 Sep 2024

Skuad Gergasi Merah memiliki kecenderungan untuk menurunkan seorang pemain dari Jordan. — Facebook/Selangor FC

MISI Selangor FC mengukuhkan benteng pertahanan dilaksanakan dengan kemasukan pemain pertahanan baharu, Mohammad Abualnadi yang baru sahaja diumumkan beberapa hari lalu.

Kemasukannya menyaksikan skuad Gergasi Merah kini memiliki seramai tiga pemain Jordan, termasuk Ali Olwan dan Noor Al Rawabdeh dengan masing-masing boleh dikatakan tonggak pasukan bagi musim 2024/25.

Perkara itu bukanlah sesuatu yang baharu buat kelab Lembah Klang itu yang cukup mempercayai import dari negara Timur Tengah berkenaan sejak kira-kira tiga musim kebelakangan ini.

BACA LAGI: Dasar pandang ke Jordan DNA terbaik Selangor buru pengganti Alex Agyarkwa

BACA LAGI: [VIDEO] DNA samba paling menjadi sepanjang musim Liga Super setakat ini

461401984_18456128461006712_1045532762743697277_n

Abualnadi merupakan import terbaru skuad Gergasi Merah dari Jordan.

Ini kerana mereka pernah merekrut Yazan al-Arab, Reziq Bani Hani dan Baha' Abdel-Rahman dengan masing-masing merupakan produk bola sepak Jordan yang pernah mencuba nasib di Selangor FC.

Keputusan tersebut boleh disimpulkan sebagai kepercayaan teguh skuad Gergasi Merah terhadap pemain dari negara berkenaan dengan orang ramai mengatakan pendekatan kelab itu sebagai 'DNA Jordan'.

Bagaimanapun, pasukan terbabit bukanlah yang pertama memiliki lambakan pemain dari sesebuah negara dengan beberapa kelab Liga Super lain juga mengambil keputusan sedemikian.

1. JDT (DNA Argentina)

Sejak ditubuhkan pada 2013, Johor Darul Ta'zim (JDT) berjaya mengaut pelbagai kejayaan di dalam padang kerana mereka cukup teliti dalam memilih import setiap musim.

Meskipun sudah memiliki kira-kira 50 pemain luar sepanjang penubuhan, pasukan Selatan tanah air itu dilihat cenderung membawa masuk pemain dari Argentina berbanding negara lain.

Pada tahun pertama mereka, skuad Harimau Selatan dibarisi beberapa import dari negara tersebut seperti Leonel Nunez dan Pablo Aimar yang amat berpengalaman di Amerika Selatan dan Eropah.

2285859

Pablo Aimar (kanan) merupakan pemain Argentina terawal menyertai JDT.

Ia diikuti keputusan membawa masuk beberapa pemain lain seperti Jorge Pereyra Diaz, Luciano Figueroa dan Leandro Velazquez yang masing-masing memiliki pengaruh besar buat pasukan.

Namun, musim ini, DNA Argentina yang diterapkan sedikit luntur kerana Jalil Elias dan Fernando Forestieri tidak lagi bersama pasukan berkenaan setelah dilepaskan pada jendela perpindahan baru-baru ini.

Keputusan tersebut bagaimanapun tidak menjejaskan cengkaman JDT di atas padang dengan kemegahan mereka sukar dipersoalkan, lebih-lebih lagi di peringkat domestik.

2. Terengganu (DNA Uzbekistan)

Import dari Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov terus menjadi nadi utama Terengganu FC di bahagian tengah kerana pemain tersebut memiliki kebolehan mencipta peluang buat rakan sepasukan.

Kebergantungan terhadapnya bukanlah sesuatu yang baharu kerana kelab Pantai Timur tersebut cukup dikenali dengan kecenderungan menggunakan kepakaran pemain berasal dari negara Asia Tengah itu.

2458227 (1)

Nurillo merupakan tonggak utama skuad Sang Penyu dari Uzbekistan.

Pendekatan itu bukanlah perkara baharu dibuat skuad Sang Penyu kerana bermula 2019, mereka sudah mempercayai import Uzbekistan setelah teruja dengan kualiti dimiliki Sanjar Shaakhmedov.

Meskipun tidak mempunyai pemain dari negara berkenaan pada 2021 dan 2022, Terengganu FC kembali dengan pendekatan berkenaan sejak Tomislav Steinbruckner memikul tanggungjawab sebagai pengendali pasukan.

Keputusan terbabit dijangka diteruskan pada tahun-tahun akan datang kerana Nurillo berjaya membuktikan kemasukan pemain dari negara berkenaan dapat menambah kualiti buat pasukan.

3. Perak (DNA Brazil)

Melihat kepada skuad The Bos Gaurus (TBG) beberapa musim kebelakangan ini, mereka tidak memiliki identiti pemain import sebenar kerana masih belum berada di tahap kestabilan sebenar.

Tetapi, sekiranya ditanya penyokong setia pasukan Utara tanah air itu, masing-masing pasti setuju bintang dari Brazil merupakan kunci utama di sebalik kejayaan pasukan.

Semasa kali terakhir mereka menjulang kejayaan Piala Malaysia 2018, terdapat tiga pemain dari negara berkenaan iaitu penyerang, Gilmar serta dua jeneral di bahagian tengah, Wander Luiz dan Leandro.

WhatsApp Image 2024-09-26 at 6.21.23 PM

Skuad TBG pada 2018 menampilkan trio import dari Brazil.

Pendekatan demikian diteruskan sehingga pertengahan musim 2021 sebelum Perak berdepan krisis kewangan yang cukup serius dengan rata-rata daripada mereka mula meninggalkan pasukan itu.

Namun, sejak kembali ke kancah Liga Super, kecenderungan itu diterapkan semula dengan musim ini, skuad TBG dibarisi dua pemain dari Brazil, iaitu Clayton da Silva serta Luiz Henrique Motta. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram