PASUKAN Terengganu FC (TFC) sekadar curi satu mata menentang Dong A Thanh Hoa apabila seri dengan keputusan 2-2 pada perlawanan kumpulan A Piala Shopee di stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada Rabu.
Pemain muda TFC, Azam Azmi Murad menjadi watak penting apabila menyumbang kepada dua jaringan skuad Penyu menerusi hantaran tepat yang berjaya disudahi dengan jaringan.
Gol pertama muncul menerusi pemain sayap kebangsaan, Akhyar Rashid yang bijak menggelecek dua pertahanan lawan dan melepaskan rembatan deras kaki kanan pada minit ke-20.
BACA LAGI: Kelibat import baharu tiada dalam latihan, mula timbul tanda tanya penyokong Terengganu
BACA LAGI: 'Seperti berlaku semalam', GG terkenang tendangan penaltinya bawa KL City ke final Piala AFC
Manuel Ott kemudiannya meletakkan TFC selesa di hadapan selepas menerima hantaran cantik Azmi Murad pada minit ke-40.
Meskipun mendahului dua gol, namun kealpaan benteng pertahanan dan kecuaian penjaga gawang, Suhaimi Husin yang gagal membaca gerakan lawan memakan diri apabila bolos di penghujung separuh masa pertama.
Bersambung di babak kedua, pasukan pelawat terus menggandakan usaha ke arah gawang TFC dan pasukan Pantai Timur itu sekali lagi dihukum apabila pemain pertahanan tengah, Ubaidullah Shamsul gagal mengeluarkan bola dan tertampan masuk ke dalam gawang sendiri pada minit ke-51.
Meskipun dianggap antara pemain pilihan jurulatih, Tomislav Steinbruckner dalam saingan musim ini, kepercayaan itu gagal dibalas balik apabila kerap melakukan kesilapan di depan pintu gol.
Peminat di laman sosial turut menyatakan kekecewaan terhadap prestasi dipamerkan pemain tersebut yang disifatkan anak emas Tomislav pada musim ini.
"Anak emas buat gol sendiri, main tak tenang kelam kabut depan gol," kata Hazmi Halim.
"Kenapa la teruk sangat Ubai ni main, clearance bola tak betul kalau tak dah boleh menang kita," ujar Juan Ikim.
"Ini la padahnya kalau dah terlampau selesa, setiap perlawanan diturunkan, sudahnya apa hasilnya, hancur main kelam kabut," tambah Gazali.
Keputusan seri 2-2 kekal hingga ke wisel penamat sekali gus menyaksikan anak-anak buah Tomislav terpaksa berpuas hati dengan satu mata di hadapan penyokong sendiri.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram