Dilapor maut akibat kemalangan, Fayadh tampil tepis berita palsu


  • Podium
  • Khamis, 26 Sep 2024

Fayadh masih berada dalam keadaan sihat dengan khidmatnya masih diperlukan skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC

KEBELAKANGAN ini, berita tidak sahih sering membanjiri media sosial dengan ia direka hanya untuk menimbulkan kegusaran dalam kalangan pembaca yang kadang-kadang menerimanya tanpa menyelidik terlebih dahulu.

Kesan daripada perkhabaran palsu itu bukan hanya memberi kesan terhadap pembaca kerana individu yang terpalit dengan sesuatu kisah itu pasti akan ditanya mengenainya.

Hal itu dapat disaksikan apabila baru-baru ini, pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC, Fayadh Zulkifli Amin menjadi 'mangsa' terbaru kepada berita yang sengaja direka-reka berkenaan.

BACA LAGI: Kedah, Selangor dan Kelantan boleh isi slot ke-10 Liga Singapura

BACA LAGI: Bekas import Kedah, Kelantan bersatu barisi kelab Iraq

460621177_559930586388123_8312174543248796214_n

Fayadh berada di padang latihan skuad Sang Kenari baru-baru ini. — Facebook/KDA FC

Ini selepas terdapat tindakan pihak tidak bertanggungjawab menghasilkan sebuah artikel yang mengatakan penyerang sayap itu meninggal dunia akibat nahas jalan raya.

"Rehat dalam damai: Pemain sayap kiri KDA FC, Fayadh Zulkifli terlibat dalam kemalangan maut beberapa minit yang lalu," tulis pengguna Facebook sambil menyertakan sebuah pautan.

Hantaran tersebut menyebabkan orang ramai mempercayai tonggak skuad Sang Kenari berkenaan sudah menghembuskan nafas terakhir meskipun tiada sebarang pengesahan daripada pihak kelab.

Tampil menepis perkara itu, Fayadh dalam satu hantaran di Instastory peribadinya menceritakan bagaimana berita tersebut palsu dengan kenalan sudah menghubunginya mengenai hal berkenaan.

WhatsApp Image 2024-09-26 at 11.08.35 AM

Fayadh menepis berita palsu mengatakannya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

"Rekaan semata-mata, jangan percaya dengan golongan sebegini. Habis orang telefon dan bertanya mengenainya. Terima kasih yang hubungi saya dan doakan yang baik-baik sahaja. Tetapi, puak pembohong ni betul buat kacau," tulisnya.

Sebelum ini, beberapa figura tanah air juga menjadi 'mangsa' akan perkara tersebut termasuk Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Abdul Halim yang terpaksa mengeluarkan kenyataan untuk menepis perkara berkenaan.

Ia boleh dikatakan sebagai taktik terbaru pihak yang cuba melakukan penipuan di atas talian dengan pengguna yang mengetik pautan itu akan terdedah kepada risiko kebocoran maklumat.

Jadi, sekiranya hal sedemikian berulang, orang ramai perlu lebih cakna dan menunggu laporan sebenar tanpa mempercayai sebarang maklumat yang diperolehi di media sosial. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram