Dasar pandang ke Jordan DNA terbaik Selangor buru pengganti Alex Agyarkwa


  • Podium
  • Jumaat, 06 Sep 2024

Agyarkwa (kanan) mengalami kecederaan serius selepas diasak beberapa kali dalam perlawanan akhir Piala FA. — Facebook/Selangor FC

KECEDERAAN dalam perlawanan akhir Piala FA bakal menyaksikan Alex Agyarkwa terpaksa berehat untuk beberapa minggu dengan perkara itu dikongsikannya menerusi hantaran di akaun Instagram peribadinya.

Perkara itu sudah disahkan sendiri pihak Selangor FC yang mengumumkan pemain kelahiran Ghana berkenaan terpaksa berehat untuk satu tempoh yang panjang akibat masalah kaki.

Ketiadaannya sudah tentu amat merisaukan bagi skuad Gergasi Merah yang akan berentap di Liga Juara-Juara AFC (ACL)2 dengan aksi pembukaan menentang Muangthong United bakal berlangsung pada 19 September.

BACA LAGI: 'CEO kelab lokal boleh apply', Reduan cadang Selangor dan JDT boleh cuba jaga 'national team'

BACA LAGI: Bintang baharu JDT sertai tonggak Selangor, Kedah jadi penyerang termahal Liga M 2024

WhatsApp Image 2024-09-06 at 10.56.33 AM (1)

Ahmad Tha'er (tengah) merupakan pengganti ideal buat Alex Agyarkwa. X/Fiq Kemal

Jadi, untuk mengatasi kehilangannya, kelab Lembah Klang itu perlu melabur sekali lagi untuk mencari pengganti terbaik pada jendela perpindahan kali ini.

Bagaimanapun, melihat kepada pilihan dalam Liga Super, sukar bagi Selangor FC mendapatkan seorang pemain dengan profil permainan seperti Agyarkwa yang boleh mematahkan serangan dan memulakan pergerakan pasukan.

Namun, bagi seorang pengguna X, Fiq Kemal, pengganti terbaik bagi pemain berusia 24 tahun tersebut merupakan pemain tengah skuad kebangsaan Jordan, Ahmad Tha'er Daoud Haikal.

Berdasarkan pemerhatian dibuat, terdapat beberapa perkara penting yang menyaksikan pemain tengah itu sesuai untuk diberi perhatian oleh Selangor FC.

WhatsApp Image 2024-09-06 at 10.56.33 AM

Data daripada analisis dibuat terhadap Ahmad Tha'er. X/Fiq Kemal

"Dia cemerlang dalam situasi satu lawan satu, sering memastikan penguasaan bola berpihak kepada pasukannya. Dia juga mematahkan serangan lawan di posisi yang baik bagi membolehkan tekanan terus diberikan.

"Tha'er juga dapat membaca pergerakan lawan dengan baik, menghidu hantaran dan melakukan hantaran. Kakinya yang panjang memberikan pemain ini kelebihan untuk membuat bentesan," katanya.

Ketika ini, Ahmad Tha'er beraksi untuk Al-Hussein FC yang beraksi dalam Liga Perdana Jordan selain sudah mengumpul kaps antarabangsa buat negara kelahirannya.

Sekiranya Selangor FC dapat membuat tawaran lumayan, kelab Timur Tengah itu sudah tentu sudi melepaskannya kerana perpindahan itu akan memberi peluang buatnya beraksi di samping tiga pemain Jordan yang lain.

WhatsApp Image 2024-09-06 at 10.51.44 AM

Beberapa kunci utama menyaksikan Ahmad Tha'er sebagai pengganti terbaik Alex Agyarkwa.

Mereka merupakan Reziq Banihani, Noor Al-Rawabdeh serta rekrut terbaru pasukan, Ali Olwan yang masing-masing pasti menjadi tonggak utama pasukan bagi separuh kedua musim 2024/25.

Dalam pada itu, Fiq Kemal turut berasakan Ahmad Tha'er memiliki potensi untuk membantu pasukannya merencanakan serangan kerana dia mempunyai kebolehan untuk membuat hantaran dengan cukup baik.

"Dia amat selesa dalam proses membina serangan. Dia akan berada di antara dua bek tengah untuk menerima hantaran dan menggerakkan bola ke kawasan berbahaya.

"Penglibatan lebih kerap dalam fasa pembinaan akan membantu pasukannya mencipta ruang dan dia juga boleh memberi bantuan kepada kawasan sayap sekiranya diperlukan," katanya lagi.

Dalam jendela perpindahan kali ini, Selangor FC hanya membawa masuk seorang pemain, iaitu Ali Olwan meskipun terdapat pelbagai aspek perlu diperbaiki di atas padang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram