
BADAN bebas Financial Fair Play First Instance Body (FFP FIB) pada Jumaat mengambil keputusan memberikan denda RM15,000 terhadap tiga kelab Liga Super atas kegagalan melengkapkan laporan kewangan.
Dalam kenyataan dikeluarkan di laman Facebook Liga Bola Sepak Malaysia, kesemua pasukan itu gagal melengkapkan laporan diperlukan itu kerana berdepan tunggakan gaji.
Selain itu, mereka juga tidak dapat melakukan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Skim Insurans Pekerjaan (EIS) ditetapkan.
BACA LAGI: Liga sudah 'sakit', MFL pula umum kuota 12 import kepada 4 kelab Asia
BACA LAGI: Ramon Marcote cabar CEO MFL beri nafas baharu, berani eksport pemain tempatan ke Eropah
Badan bebas itu turut memaklumkan pemeriksaan serahan laporan kewangan kelab Liga Super adalah proses fasa kedua dalam pengenalan peraturan FFP dalam Liga Malaysia bermula musim 2024-2025.
Katanya, daripada pemeriksaan dokumentasi yang diserahkan oleh semua kelab Liga Super, 10 kelab berjaya menyerahkan laporan kewangan fasa kedua FFP dengan lengkap.
“Bagaimanapun tiga kelab pula tidak berjaya dalam proses melengkapkan laporan kewangan itu disebabkan mempunyai tunggakan gaji serta caruman KWSP, LHDN, PERKESO dan EIS.
“Oleh itu, sekatan perpindahan pemain sebelum jendela kedua perpindahan pemain musim 2024-2025 sudah dikenakan ke atas kelab terbabit," tulisnya.
Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut pasukan yang dikenakan tindakan tersebut, namun melihat kepada laporan terdahulu, Kedah Darul Aman (KDA) FC, Sri Pahang FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC merupakan pasukan dimaksudkan.
KDA FC dan Sri Pahang FC dilihat antara pasukan yang dikenakan tindakan itu. — Facebook/KDA FC
"Selepas 30 hari sekatan perpindahan dikenakan kepada tiga kelab itu, pihak MFL FFP masih belum menerima sebarang penyelesaian terhadap tunggakan atau mendapat persetujuan bersama kedua-dua pihak dan menghantar bukti kepada pihak FIB FFP.
“Maka pihak FIB FFP menjatuhkan denda dengan serta-merta sebanyak RM15,000 kepada kelab terbabit,” kata FFP FIB.
Selain itu, FFP FIB menjelaskan tiga kelab terbabit perlu menghantar bukti resit bayaran atau pelan pembayaran ansuran untuk tunggakan bayaran gaji (pemain, pegawai dan pentadbiran) dan agensi kerajaan dalam tempoh 30 hari selewat-lewatnya sebelum atau pada 25 Oktober depan.
“Kegagalan, keengganan atau kecuaian tiga kelab ini untuk berbuat demikian seperti yang ditetapkan, maka perkara ini akan dibawa ke Jawatankuasa FIB bagi tindakan selanjutnya,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram