Liga sudah 'sakit', MFL pula umum kuota 12 import kepada 4 kelab Asia


  • Podium
  • Rabu, 18 Sep 2024

Pengumuman MFL mengenai perubahan berkenaan sudah tentu menimbulkan keresahan terhadap orang ramai.

SITUASI Liga Super ketika ini sudah semakin meruncing selepas beberapa pasukan dilaporkan mahu menarik diri berikutan isu kewangan yang semakin sukar untuk dibendung.

Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC difahamkan semakin terdesak untuk mengambil keputusan terbabit selepas sukar mengelakkan masalah itu berulang.

Jadi, penyokong bola sepak tempatan sudah tentu mengharapkan penyelesaian dapat diambil Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebagai badan pengelola untuk menyelesaikan isu terbabit.

BACA LAGI: 'Wake up call buat Sang Kenari', 6 kuota import macam tak ada fungsi atas padang

BACA LAGI: 'Kurangkan kuota import bukan penyelesaian masalah tunggakan gaji', tegas legenda Harimau Malaya

Bagaimanapun, kisah berbeza pula berlaku apabila pada Rabu, organisasi itu mengumumkan mereka akan meningkatkan kuota import kepada kelab terpilih.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan, pasukan yang diberikan kelonggaran tersebut ialah empat wakil negara ke pentas Asia iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT), Selangor FC, Terengganu FC dan KL City FC.

"Kuota tambahan ini tidak akan menjejaskan peluang pemain-pemain tempatan untuk beraksi kerana dua pemain asing tambahan ini hanya dibenarkan beraksi dalam pertandingan Piala MFL sahaja serta pendaftaran pemain asing dalam Team List Liga Malaysia 2024-2025 masih kekal.

"Berdasarkan cadangan dikemukakan JDT mengikut Perkara 3 Manual Liga Malaysia 2024-2025 serta persetujuan bersama pemegang taruh MFL itu, pindaan terbaharu itu menyaksikan kelab-kelab Liga Super yang bertanding dalam kejohanan peringkat kelab anjuran AFC dan AFF dibenarkan mendaftar maksimum 12 pemain asing berbanding 10 sebelum ini," tulisnya.

Pada awal musim lalu, JDT dan Selangor FC diberikan peluang mendaftar 10 pemain import atas sebab kejayaan melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL).

WhatsApp Image 2024-09-18 at 7.01.34 PM

JDT dan Selangor dibenarkan mendaftar sehingga 12 pemain import.

Perubahan itu pasti tidak memberi tekanan kewangan buat kedua-dua pasukan yang boleh memiliki sumber kewangan kukuh hasil kutipan tiket pada setiap perlawanan serta penajaan.

Bagaimanapun, bagi pasukan lain, pelaburan juga harus dibuat kerana masing-masing tidak mahu ketinggalan dalam peluang merebut slot ke pertandingan anjuran AFC atau AFF.

Jadi, dengan penambahan kuota itu, penyokong beranggapan percaturan MFL sekali lagi mengundang risiko terhadap kelangsungan kesemua pasukan dalam Liga Super.

"Semakin terpinggir pemain tempatan, sudah lah isu gaji tergantung. Pasukan dan pengurusan yang kaya tiada masalah untuk tambah sebanyak mana. Tetapi, bagi yang kurang berkemampuan, terpaksa hidup segan mati tak mahu," kata Roslan Bian.

"Liga Malaysia bakal 'mati' dengan penambahan pemain import yang lebih ramai dan membunuh karier pemain tempatan terabai," kata Zulkipli Hj Sudin.

"Pasukan yang tak mampu menampung gaji tu hanya boleh duduk berdiam diri, gunakan sahaja khidmat anak jati. Itu pun, masih tidak boleh dibayar gaji," kata Mat Top.

Namun, MFL turut menekankan tiada perubahan dibuat terhadap jumlah pemain import yang boleh diturunkan dalam setiap perlawanan dengan hanya enam pemain import bebas dan seorang import Asia dibenarkan di atas padang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram