Ramon Marcote cabar CEO MFL beri nafas baharu, berani eksport pemain tempatan ke Eropah


  • Podium
  • Rabu, 11 Sep 2024

Rossi (kanan) sedang bersalaman dengan pengarah Sabah FC, Mohd Joh Wid (kiri). — MFL

LIGA BOLA SEPAK MALAYSIA (MFL) mengumumkan bahawa bekas Delegasi LaLiga di Malaysia, Giorgio Pompili Rossi telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL yang baharu pada 5 September lalu.

Pelantikan Pompili Rossi melengkapkan carta organisasi MFL menggantikan posisi Datuk Stuart Ramalingam yang telah tamat kontrak bersama MFL selaku CEO pada 31 Ogos 2024.

Keputusan pelantikan tersebut telah dibuat menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL menerusi satu mesyuarat pada 4 September 2024 sekali gus menyaksikan Pompili Rossi adalah individu dari luar negara yang pertama dilantik sebagai CEO MFL.

BACA LAGI: Enam daripada 11 tak senyum, fans Kedah sudah 'predict' awal keputusan lawan KL City

BACA LAGI: 'Kekalkan Nidzam Jamil', fans Selangor tolak khabar angin Nafuzi Zain tinggal KDA sertai Gergasi Merah

Bercakap mengenai pelantikan itu, bekas pembantu jurulatih Selangor FC, Ramon Marcote Pequeno berharap kehadiran Rossi mampu memberikan sesuatu yang baharu dalam Liga Malaysia.

"Saya harap begitu (perubahan), apa yang saya percaya ialah CEO baharu akan cuba melakukan yang terbaik dengan mengambil semua kerja baik pengurusan sebelum sebagai titik permulaan.

"Perubahan sentiasa memberi peluang untuk memberikan arah baharu kepada MFL, meneroka perspektif baharu tentang cara melakukan sesuatu, berusaha untuk mencapai kejohanan yang lebih global.

"Lebih menarik ia bukan sahaja untuk Malaysia tetapi juga untuk seluruh dunia.

"Saya yakin CEO baharu akan cuba mencipta kejohanan yang lebih kompetitif dan lebih bermanfaat untuk kelab di mana peluang untuk pertumbuhan sukan, sosial, institusi dan yang paling penting, ekonomi, lebih baik," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi, ketika ini sangat penting untuk semua pasukan memberikan sokongan kepada Rossi supaya kerja-kerjanya dapat memberikan impak segera.

"Perkara penting pada masa ini adalah untuk memudahkan urusannya dan mendapat sokongan serta kepercayaan daripada kelab-kelab dan institusi supaya kerjanya benar-benar memberikan impak."

Jelas Marcote lagi, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, MFL telah menghasilkan ramai pemain berkualiti daripada Liga Malaysia dan berharap mereka dapat dieksport ke luar negara demi kebaikan skuad kebangsaan.

"Malaysia mempunyai populasi dan cintakan bola sepak, yang bermaksud ia adalah sebuah negara dengan potensi, potensi yang perlu dibangunkan dengan cekap agar lebih kompetitif di peringkat antarabangsa.

"Telah terbukti bahawa Malaysia adalah negara yang mampu melahirkan pemain berbakat. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pemain berbakat seperti Arif Aiman, Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Faisal Halim telah muncul dalam bola sepak Malaysia, tetapi menghasilkan lapan atau 10 pemain berkualiti tinggi setiap 10 tahun tidak mencukupi untuk persaingan tempatan atau untuk memperkuatkan pasukan kebangsaan.

"Beberapa persoalan yang perlu dijawab, mengapa lebih ramai pemain tempatan yang bertaraf tinggi tidak muncul untuk menaikkan tahap bola sepak negara?

"Kita harus cuba menjawab mengapa pemain tempatan ini tidak berhijrah ke kelab-kelab Eropah atau kelab-kelab berprestij di Asia.

"Mengeksport pemain akan membuka pintu bola sepak negara kepada seluruh dunia dan akan menghasilkan model teladan yang akan membuatkan rakyat Malaysia lebih jatuh cinta dengan bola sepak tempatan," ujarnya.

Untuk rekod, Rossi memulakan kerjayanya pada 2013 dengan menyertai agensi komersial Kelab Serie A dan meneruskan tugas di Sepanyol bersama Valencia CF sebelum menyertai LaLiga pada tahun 2017.

Rossi mula bertapak di Malaysia sebagai Delegasi LaLiga pada 2017 sehingga 2021, yang mana dia memainkan peranan penting dalam membangunkan jenama liga Sepanyol dan mempromosikan kelab-kelab Sepanyol di kalangan peminat bola sepak di negara ini.

Selepas itu, Rossi melebarkan sayapnya sebagai Delegasi LaLiga Thailand yang berpangkalan di Bangkok sejak 2021 serta turut menjalankan operasi di Laos, Kemboja dan Myanmar sehingga kini sebelum dilantik selaku CEO MFL. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram