BARU-BARU ini, industri tanah air dikejutkan dengan berita kurang gembira selepas Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) membuka kertas siasatan terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Ia terjadi disebabkan faktor beberapa kelab mengalami tunggakan gaji tetapi lesen masih diberikan kepada mereka oleh badan induk itu.
Menurut pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli, dia menganggap bahawa masih terlalu awal untuk penyokong membuat penilaian terhadap badan induk tersebut kerana proses siasatan masih berjalan.
BACA LAGI: Bukan bek Korea Selatan, JDT rupanya intai pertahanan Palestin hadapi ACLE
BACA LAGI: [VIDEO] Walau hanya ada lencana Sang Kenari, fans puji jersi baharu KDA FC
KL City mengalami tunggakan sebanyak RM24 juta. — MFL
"Saya tidak pasti serius mana tindakan boleh diambil oleh AFC jika benar terdapat perkara salah laku atau manipulasi atau pemalsuan dokumen dan sebagainya oleh kelab ketika permohonan pelesenan untuk beraksi dalam Liga Malaysia dan diluluskan oleh First Instance Body (FIB) bagi pihak MFL dan FAM.
"Perkara ini masih dalam proses siasatan oleh AFC dan masih terlalu awal untuk kita menyatakan di pihak mana pula yang tidak menjalankan tanggungjawab sepenuhnya atau tidak telus.
"Mungkin juga terlalu bertoleransi dalam perkara-perkara serius seperti tanggungan hutang yang melampau tetapi masih juga diberikan lesen untuk menyertai liga Malaysia," katanya kepada Majoriti.
Menurut Pekan, tidak mustahil Malaysia akan menerima nasib yang sama seperti negara di Asia yang pernah dikenakan hukuman serius iaitu larangan menyertai kejohanan AFC.
"Tanggungjawab atau kepercayaan menjalankan fungsi ini telah diberikan oleh AFC kepada setiap ahli gabungannya. Jadi memang wajarlah jika ia disalahgunakan, AFC boleh menarik balik hak tersebut dan mengenakan hukuman yang setimpal.
"Saya difahamkan ada persatuan bola sepak negara di Asia yang telah dikenakan hukuman serius dan dilarang menyertai kejohanan anjuran AFC.
"Tidak mustahil Malaysia atau FAM dijatuhkan hukuman yang sama. Jangan rasakan seolah-olah AFC boleh bersikap pilih kasih dengan FAM atau Malaysia seperti hubungan adik beradik atau saudara mara sebab ia berada di Malaysia dan pentadbir utamanya juga orang Malaysia.
"Saya harap jika pun hukuman terpaksa diambil AFC, biarlah si luncai sahaja yang terjun dengan labu-labunya.
"Jangan hanya nila setitik habis rosak susu sebelanga, nanti ada kelab yang tidak terbabit dengan salah laku ini pula yang terpalit. Jangan sampai liga Malaysia digantung, hak beraksi di persaingan kelab Asia terjejas. Sudah pasti ada pihak yang mengamuk besar nanti," ujarnya.
Ahli Lembaga Pengarah Kuala Lumpur United Football Club Sdn Bhd tampil memaklumkan bahawa proses pembayaran gaji pemain dan pegawai pasukan sedang giat dilaksanakan. — Facebook/KLCity
Begitu pun, Pekan berkata, dia berlapang dada ke atas siasatan yang dikenakan kepada badan induk dan pengelola bola sepak tanah air itu.
Menurutnya, ia merupakan cara agar Financial Fair Flay (FFP) boleh membantu melicinkan bola sepak tempatan kelak.
"Apa pun saya mengalu-alukan siasatan AFC ini sebenarnya kerana ianya selari dengan hasrat untuk memperkasakan Financial Fair Play bagi memastikan tidak berlaku kelemahan atau kerosakan tatakelola kewangan bagi semua kelab bola sepak profesional hingga melarat kepada isu hutang gaji pemain dan pegawai serta kepada agensi kerajaan.
"Ini juga 'wake up call' kepada MFL dan FAM untuk mengambil langkah lebih proaktif bagi menangani isu ini secara kolektif dan tidak hanya menuding jari kepada kelab-kelab yang terbabit. Periksa juga apakah penguasa liga juga menjadi penyebab kepada permasalahan pokok ini?" jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram