
IBARAT penyakit yang belum jumpa penawarnya, begitulah nasib Kedah Darul Aman (KDA) FC bila bercakap soal masalah kewangan khususnya isu gaji melanda pasukan mereka pada musim 2024/2025.
Awal musim ini sahaja, pemilik kelab berkenaan iaitu Tan Sri Mohd Daud Bakar mendedahkan bahawa pasukan itu berdepan dengan masalah kewangan dan dijangka hanya mampu bertahan kurang daripada dua bulan.
Selepas beberapa bulan berlalu, masalah tersebut juga kian terhakis dek usaha pihak pengurusan yang diketuai Daud Bakar untuk mendapatkan penaja bagi menambah sedikit kekuatan di bahagian kewangan.
BACA LAGI: Irfan Zakaria ke Kedah demi buru minit permainan, rampas semula tempat dalam skuad HM
BACA LAGI: Lepas hilang Manuel Ott, Rizal Ghazali dan Ifwat Akmal boleh jadi calon kapten Sang Kenari
Masalah dalaman menimpa pasukan Utara tanah air itu bagaimanapun timbul lagi apabila bek tengah Sang Kenari, Irfan Zakaria berkongsi video yang menyebut gaji dalam Insta Story miliknya baru-baru ini.
Kisah Kedah mengalami masalah kewangan bukan setakat di peringkat skuad senior, malah para pemain dari pasukan Piala Presiden juga turut mendapat layanan sama dari pihak pengurusan.
Memetik perkongsian Insta Story dari laman penyokong, One Football berkongsi luahan dari salah seorang pemain muda Kedah yang mendedahkan bahawa skuad Piala Presiden Kedah tidak menerima gaji selama tujuh bulan.
Tangkap layar luahan yang mendedahkan bahawa skuad Piala Presiden Kedah tidak menerima gaji selama tujuh bulan.
"Admin okay keadaan kami sekarang ini macam ini musim dah habis musim tapi gaji tak bayar lagi sampai sekarang. Hari itu gaji mereka bagi advance pun separuh/separuh kiranya baru dapat sebulan untuk musim tahun ini. Kami dah tanya pengurusan tapi mereka masih bagi jawapan yang sama.
"Dekat media ada kelab yang ada masalah gaji naik tapi KDA FC tak naik. Kami rasa pelik, mereka buat tak tahu saja? Sekurang-kurangnya bagi penjelasan dekat kami tapi mereka senyap. Kami habis bersabar sampai sekarang," luahnya.
Untuk rekod, skuad Piala Presiden Kedah sebelum ini tewas 0-4 kepada pasukan pelawat, Selangor FC B20 yang juga merupakan pendahulu Kumpulan B.
Dengan keputusan berkenaan, pasukan Piala Presiden KDA FC C mengakhiri saingan tahun ini di tangga terakhir kumpulan dan pastinya isu gaji antara yang menganggu persiapan skuad muda Sang Kenari.
Tangkap layar hantaran dari Irfan di Insta Story.
Awal Ogos ini nama Kedah selagi lagi dipetik antara kelab yang dikatakan mengalami tunggakan gaji oleh laporan kewangan sebelum Financial Fair Play First Instance Body (FFP FIB) dikuatkuasakan.
Walaupun badan berkenaan tidak menyebut nama-nama pasukan namun susulan isu gaji sebelum ini, skuad Sang Kenari menjadi antara pasukan yang dikatakan berada dalam senarai pihak FFP FIB. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram