Kongsi video berkaitan gaji, 'posting' bek tengah Kedah beri hint isu dalaman Sang Kenari?


  • Podium
  • Khamis, 15 Ogos 2024

Irfan (depan) berkongsi video berkaitan gaji sehingga menimbulkan spekulasi berhubung masalah dalaman Sang Kenari. — Facebook/KDAFC

SEJAK musim 2024/2025 bermula, Kedah Darul Aman (KDA) FC sudah dihimpit dengan isu dalaman yang belum selesai iaitu masalah kewangan sehingga berlaku tunggakan gaji menimpa para pemain, jurulatih dan kakitangan Sang Kenari.

Bayangkan sahaja, pada aksi kedua Liga Super sudah menyaksikan pemilik kelab, Tan Sri Mohd Daud Bakar mendedahkan bahawa pasukan itu berdepan dengan masalah kewangan dan dijangka hanya mampu bertahan kurang daripada dua bulan.

Selepas beberapa bulan berlalu, masalah tersebut juga kian terhakis dek usaha pihak pengurusan yang diketuai Daud Bakar untuk mendapatkan penaja bagi menambah sedikit kekuatan di bahagian kewangan.

BACA LAGI: Irfan Zakaria ke Kedah demi buru minit permainan, rampas semula tempat dalam skuad HM

BACA LAGI: Lepas hilang Manuel Ott, Rizal Ghazali dan Ifwat Akmal boleh jadi calon kapten Sang Kenari

Awal Ogos ini bagaimanapun, nama Kedah selagi lagi dipetik antara kelab yang dikatakan mengalami tunggakan gaji oleh laporan kewangan sebelum Financial Fair Play First Instance Body (FFP FIB) dikuatkuasakan.

Walaupun badan berkenaan tidak menyebut nama-nama pasukan namun susulan isu gaji sebelum ini, skuad Sang Kenari menjadi antara pasukan yang dikatakan berada dalam senarai pihak FIB FFP.

Masalah dalaman menimpa pasukan Utara tanah air itu semakin diyakini apabila bek tengah Sang Kenari, Irfan Zakaria berkongsi video yang menyebut gaji dalam Insta Story miliknya baru-baru ini.

Meskipun hantaran berkenaan sudah dipadam namun sesetengah penyokong sempat melihatnya sehingga ia menimbulkan kebimbangan dan spekulasi baharu mengenai nasib Kedah pada saki-baki saingan liga.

WhatsApp Image 2024-08-15 at 10.33.54

Tangkap layar hantaran dari Irfan di Insta Story.

Bercakap mengenai Irfan, nasib bek tengah itu agak kurang bernasib baik apabila niatnya ke Kedah mahu mendapatkan minit permainan namun isu tunggakan gaji yang tidak selesai ini boleh mematahkan semangat bekas bintang Sabah FC berkenaan.

Sebelum ini, Irfan menyatakan keputusannya untuk menyertai semula Kedah kerana mahu mendapatkan minit permainan sekali gus mengembalikan prestasinya ke tahap tertinggi selepas mengalami kecederaan.

Bukan itu sahaja, pemain berusia 29 tahun berkenaan turut mensasarkan untuk menjadikan skuad kendalian Nafuzi Zain itu sebagai platform kembalinya dia ke dalam skuad kebangsaan.

Selepas sudah lama tidak beraksi untuk Malaysia, Irfan mensasarkan untuk kembali ke skuad Harimau Malaya dalam masa akan datang. Untuk rekod, kali terakhir Irfan mewakili Malaysia adalah pada 2021 sewaktu tewas kepada Uzbekistan 1-5 dalam aksi persahabatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram