Fandi: Daripada perancang strategi kepada pakar motivasi


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Jumaat, 27 Sep 2024

Fandi perlu menggunakan pendekatan berbeza untuk membakar semangat anak-anak buahnya. — Facebook/Sri Pahang FC

Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

TEMU bual selepas perlawanan di televisyen sering menampilkan Fandi Ahmad yang sentiasa tersenyum kendatipun keputusan yang baru diraih Sri Pahang FC tidak seperti diharapkannya. Tapi jauh di sudut hati ketua jurulatih skuad Tok Gajah itu, 10 perlawanan yang telah diharungi setakat ini lebih kepada meniti kebimbangan dan kerisauan.

Selain tugas hakikinya menentukan pemilihan pemain dan menerapkan strategi pasukan, Fandi mengakui keadaan berkenaan turut menuntutnya berfungsi selaku pempengaruh dan motivator dalam mengerah keupayaan terbaik daripada kesebelasannya.

Mengisi tangga kelapan dengan 11 mata – di bawah PDRM FC dan Perak FC yang masing-masing menghuni tangga kelapan dan ke-11 musim lalu berbanding Sri Pahang FC di tangga kelima – ia harus suatu kedudukan yang dia rasa sukar untuk dibiasakan.

BACA LAGI: Gol memukau, terpantas antara tumpuan kepada penyerang import jendela kedua

BACA LAGI: Kelantan Darul Naim FC sasar angin perubahan kedua

459508274_901496418679057_4243287338761670162_n

Kejayaan menundukkan PDRM FC membawa kelegaan ke kem skuad Tok Gajah. Facebook/Sri Pahang FC

Merenung perjalanan sejauh ini, Fandi lebih daripada sedia mengakui banyak kekecewaan yang harus ditelannya. Cuma, dengan berbaki dua perlawanan untuk menutup pusingan pertama Liga Super musim 2024/25 ini, legenda bola sepak Singapura itu sudah mula melihat bibit-bibit positif untuk Sri Pahang FC kembali ke kedudukan selayaknya.

"Ini satu tempoh yang sukar buat kami sebelum ini. Anda tentu sudah kerap dengar saya terus mengeluh tentang kesukaran kami untuk dapatkan gol. Pemain-pemain kurang bermotivasi dan mudah hilang penumpuan dalam perlawanan yang sering merugikan pasukan.

“Sesetengah pemain enggan mengerah diri untuk ke hadapan untuk cari jaringan sedangkan saya perlukan pemain yang berani ambil risiko. Sukar untuk saya mengerah mereka. Ada kalanya saya mahu marahkan mereka tapi saya pilih untuk jadi motivator kepada mereka,” kongsinya dengan Bola Pegun.

Sekilas pandang ke carta liga akan dapat memahamkan apa yang dideritai oleh Fandi apabila selain hanya dua kemenangan – 1-0 ke atas Kelantan Darul Naim (KDN) FC dalam perlawanan pertama dan 5-1 ke atas PDRM FC dalam perlawanan kesembilan – mereka banyak mencicirkan mata.

460723301_905284938300205_1825073312592041656_n

Isu konsistensi perlu diselesaikan skuad Tok Gajah segera. Facebook/Sri Pahang FC

Lima perlawanan berkesudahan seri – Kuching City FC 2-2 (A), Kuala Lumpur City FC 0-0 (A), Selangor FC 1-1 (H), Terengganu FC 1-1 (A) dan Kedah Darul Aman (KDA) FC 2-2 (A) – yang bermakna mereka hanya meraih lima mata daripada maksimum 15 mata.

“Ada sekurang-kurangnya dua perlawanan menentang Kuala Lumpur dan Selangor yang saya rasa kami beraksi cukup baik untuk menang tapi terpaksa berpuas hati dengan seri,” tambahnya sambil merujuk kepada dua perlawanan lain yang mereka bangkit daripada ketinggalan untuk mengelakkan hampa.

Ketika berdepan Terengganu FC di laman lawan pada 16 Ogos, skuad Tok Gajah itu bangkit daripada jaringan Nurillo Tukhtasinov pada minit ke-45 dan memerlukan jaringan lewat Stefano Brundo dalam masa kecederaan untuk mengikat kedudukan.

Kemudian, ketika menjadi tetamu pada 20 September kepada KDA FC – perlawanan pertama skuad Helang Merah itu kembali daripada mogok dengan memulaukan latihan disebabkan masalah gaji -- Kpah Sherman pula tampil penyelamat dengan gol pada minit ke-80 untuk mengubah kedudukan daripada ketinggalan 1-2 sebelum itu.

460446714_905267781635254_84908447540014312_n

Sentuhan Kpah (kiri) diperlukan ketika skuad Tok Gajah bertandang ke Stadium Darul Aman. Facebook/Sri Pahang FC

Kepada Fandi, kedua-dua perlawanan itu yang diselangi dengan kemenangan besar 5-1 ke atas PDRM FC di Temerloh pada 15 September, dengan Brundo dan Sherman masing-masing menyumbangkan dua gol, menyerlahkan petanda bahawa pasukannya mungkin sudah melepasi tempoh ‘gelap’ mereka.

Ia juga mengisahkan peri pentingnya kedua-dua pemain itu yang sudah menyumbangkan sembilan daripada 14 gol pasukan setakat ini dalam meneruskan cabaran.

“Alhamdulillah kami sudah mula beransur-ansur menunjukkan peningkatan. Saya hanya dapat berharap kami mampu mengekalkan prestasi baik sejak beberapa perlawanan kebelakangan ini.

“Tiga perlawanan terakhir memberi pemain-pemain keyakinan. Sebagai jurulatih, adalah menjadi tugas saya untuk membantu mereka semampu yang boleh,” kata Fandi yang percaya pengurusan Sri Pahang FC lebih tahu bagaimana untuk memberi motivasi terbaik kepada pemain-pemain pada peringkat ini.

459946125_18459470296031124_1137482522234680845_n

Brundo (kanan) terpaksa berehat lama akibat kecederaan dialaminya. Facebook/Sri Pahang FC

Kebimbangan ketua jurulatih itu, bagaimanapun, belum semuanya berakhir dengan kecederaan dua tonggak pertahanan, Brundo dan Aleksandar Cvetkovic, yang tidak dapat ditagih peranan mereka dalam perlawanan menentang Perak FC di Stadium Temerloh pada Sabtu.

Brundo, 31, yang terlepas hanya satu perlawanan ketika berkunjung ke laman KDA FC, mungkin memerlukan rehat sehingga enam minggu kerana kecederaan lutut.

"Sudah pasti Sri Pahang akan berusaha dengan pemain sedia ada walaupun ada beberapa pemain yang tidak boleh bermain akibat kecederaan.

"Inilah masalah besar yang dihadapi ketika ini tetapi pemain sedia ada perlu memberikan komitmen tinggi dan berada pada prestasi terbaik untuk menyekat lawan daripada membawa pulang mata," katanya.

459858620_536400268940353_7944018193419574689_n

Yusri sedar akan kebolehan dan kualiti dimiliki skuad Tok Gajah. Facebook/Perak FC

Apa pula kata ketua jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah?

“Saya akui tujuh jaringan yang dihasilkan pasukan Pahang dalam dua perlawanan (terakhir) agak besar. Walaupun mereka ditembusi tiga jaringan, bagi saya pasukan (Pahang) seperti mana Kuala Lumpur memiliki pemain berpengalaman.

“Saya rasa pemain no 13 saja (Ashar Al-Aafiz Abdullah) midfielder yang beraksi dengan Azam Azih itu pemain muda, yang lain semuanya pemain dah seasoned.

“Kita masih lagi akan beraksi dengan pasukan yang kuat dan kerja keras perlu dilakukan macam mana nak menidakkan Kpah Sherman daripada bermaharajalela di Stadium Temerloh dan juga cara team berpengalaman beraksi,” katanya dalam sidang media seusai kejayaan mengalahkan KL City FC di Ipoh, Sabtu lalu.

Yusri juga mengharapkan dua kemenangan berturut-turut sebelum ini dapat menyuntik keyakinan buat pemain-pemainnya melakukan perhitungan dengan anak-anak buah Fandi.

“Tapi saya mengharap pemain-pemain saya tidak dibuai dengan kejayaan yang sedikit. Biarlah kita (dengan prestasi) berterusan kerana selepas perlawanan dengan Pahang, ada perlawanan lebih besar menentang JDT.

“Saya sedar perlawanan di Temerloh satu perlawanan amat sukar menanti kami.” — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram