PEMAIN kacukan Sepanyol-Malaysia, Natxo Insa teruk dikecam oleh penyokong Harimau Malaya selepas dia didakwa tidak beraksi baik dalam perlawanan menentang Bahrain pada Sabtu lalu.
Dalam perlawanan itu, Natxo diturunkan bagi menggantikan Syamer Kutty Abba yang sudah dilayangkan kad merah pada babak separuh mata.
Corak permainan yang ditampilkan Natxo dalam perlawanan itu dikatakan tidak agresif sehingga menyebabkan skuad kebangsaan sukar untuk melakukan serangan balas kepada pihak lawan.
Untuk info, Natxo merupakan abang kepada bekas pemain kebangsaan, Kiko Insa yang pernah menyarung jersi Sri Pahang FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) sebelum memutuskan untuk bersara.
Semasa aktif bermain, Kiko juga dikenali dengan corak permainan yang sangat agresif sehinggakan tindakannya itu boleh mencederakan pihak lawan.
BACA LAGI: [VIDEO] ‘Dia pun manusia biasa’, Safawi Rasid optimis Harimau Malaya mampu sekat bintang EPL
Pada musim 2017, Kiko pernah melakukan terjahan keras ke atas penyerang legenda kebangsaan, Safee Sali dalam satu perlawanan Liga Super membabitkan pasukan Sri Pahang dan PKNS FC ketika itu.
Terjahan keras yang dilakukan oleh Kiko itu menyebabkan Safee naik angin dan mula bertindak balas atas perbuatan bekas pemain pertahanan Harimau Malaya itu.
Dalam perlawanan itu, Kiko melakukan terjahan sedemikan kerana didakwa tidak berpuas hati apabila Safee cuba melakukan skil dan mengeleceknya untuk melepasi benteng pertahanan Sri Pahang.
Tangkap layar posting Instagram Safee pada 2017.
Tidak habis di atas padang, Safee kemudiannya meluahkan perasaannya di laman Instagram miliknya untuk memberitahu perasaan kecewanya ketika itu.
“Kalah menang memang adat permainan. Tapi kalaulah pengadil terus kejam macam ini memang tak ke manalah – hanya berpihak pada satu pasukan.
“Insiden macam ini sepatutnya kad merah tapi itulah pengadil di Malaysia. Pemain itu (Kiko Insa) tidak punya hormat langsung. Ini ke kualiti pemain bola sepak?” luahnya semasa itu pada 2017.
Dalam perlawanan itu, Pahang menewaskan PKNS FC 3-0 hasil jaringan Matheus Alves, Afif Amirudin dan Ashari Shamsuddin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram