Gol memukau, terpantas antara tumpuan kepada penyerang import jendela kedua


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Khamis, 26 Sep 2024

Avanzini (tengah) meraikan jaringan sulungnya bersama NSFC ketika aksi debutnya menentang Penang FC baru-baru ini. — MFL

BOLA Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

JARINGAN menakjubkan daripada Sebastian Avanzini dari jarak kira-kira 25 meter di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, Ahad lalu adalah antara yang menjadi tarikan daripada bintang import yang melakukan debut dalam jendela perpindahan kedua kali ini sambil beberapa lagi akan dinilai keupayaan mereka sepanjang minggu ini.

Avanzini, pemain tengah berusia berusia 29 tahun yang mewakili Kuala Lumpur City FC musim lalu, menghukum kealpaan pemain-pemain Penang FC yang mungkin ternanti-nanti wisel rehat separuh masa pertama untuk menyungkit menewaskan penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Azman, yang seakan-akan terpaku tanpa mampu berbuat apa-apa.

Gol itu menyaksikan skuad Jang itu bangkit untuk memastikan sekurang-kurangnya satu mata dengan keputusan 2-2 dalam perlawanan yang menyaksikan Dylan Wenzel-Halls - penyerang berusia 27 tahun yang baru didapatkan dari kelab Australia, Central Coast Mariners – meletakkan tuan rumah 2-1 di depan dalam penampilan sulungnya.

BACA LAGI: Anak jati Kedah hampir pasti tinggalkan Pantai Timur, kembali ke pangkal jalan

BACA LAGI: [VIDEO] 'Saya bangga dengan Feroz dan Ramadhan,' tonggak kelab amatur cari motivasi daripada duo JDT demi kembali ke Liga Super

“Avanzini membawa pengalaman luas dan kami yakin kemahiran serta kebolehannya akan memberi impak besar kepada pasukan. Penambahan pemain ini adalah sebahagian usaha kami untuk bersaing dalam liga,” ujar ketua jurulatih NSFC, K. Nanthakumar, dalam kenyataan kelab itu 20 September lalu.

Nanthakumar, yang masih ketiadaan kemenangan selepas tiga perlawanan – seri 2-2 dengan Kedah FC, tewas 0-1 kepada Perak FC dan seri 2-2 dengan Penang FC - sejak mengambil alih tugas daripada Azzmi Aziz pada 15 Ogos lalu akan memerlukan sentuhan gemilang Avanzini sekali lagi jika berharap untuk meraih tiga mata pertamanya ketika berdepan Kelantan Darul Naim (KDN) FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Jumaat.

Menghadapi ‘derby’ dua pasukan di dasar liga, tekanan akan makin berganda ke atasnya andai gagal memanfaatkan kelebihan di tempat sendiri ke atas skuad Kijang Emas itu, yang turut didorong oleh jaringan rekrut terbarunya, Layth Kharoub, sewaktu tunduk 1-6 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di Iskandar Puteri, Ahad lalu.

460916606_545442474544407_6391285612034810150_n

Avanzini (tengah) berjaya mencatat jaringan dalam debutnya pada aksi menentang Penang FC baru-baru ini. — MFL

“Pertemuan dengan JDT tempoh hari meluangkan untuk kami menguji trio serangan Kharoub, Washington Bandao dan Aung Kaung Mann. Kami menyasarkan untuk ketiga-tiganya menunjukkan ketajaman sentuhan penyudah dalam mencari tiga mata ke atas Negeri Sembilan FC,” kata penolong ketua jurulatih KDN FC, Rezal Zambery Yahya.

Lebih dahulu daripada gol-gol Avanzini dan Wenzel-Halls dalam debut masing-masing itu, Joao Pedro hanya memerlukan 11 minit dalam aksi permulaannya untuk membantu Sabah FC meraih satu mata dalam perlawanan yang berkesudahan 1-1 dengan Terengganu FC di Stadium Likas, 15 September lalu.

Nasib berlawanan sebaliknya dialami penyerang terbaru Terengganu FC, Nelson Bonilla, yang gagal meninggalkan impak besar sepanjang 65 minit aksi sulungnya dalam perlawanan itu sebelum digantikan oleh Engku Muhammad Nur Shakir.

Bekas penyerang kelab Croatia, HNK Rijeka, Jorge Obregon – salah seorang daripada tujuh import baharu yang dibawa masuk oleh JDT – turut mencuri tumpuan dengan dua gol dalam kemenangan 5-0 ke atas Penang FC di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 12 September lalu.

Tidak ketinggalan juga, Ali Olwan yang tampil dengan jaringan sulungnya dalam kemenangan 4-0 ke atas Kuching City FC di Stadium MBPJ pada 13 September.

2912566

Selangor FC mendahului Kuching City dalam aksi separuh masa pertama Liga Super di Stadium MBPJ, Selangor pada Jumaat. — Selangor FC

Ketajaman penyerang kebangsaan Jordan itu di hadapan gawang dibuktikan dengan satu gerakan cantik bagi melepasi kawalan pertahanan lawan sebelum menyudahkan gol kedua buat The Red Giants pada minit ke-67.

Tumpuan selanjutnya pula akan terarah kepada rakan senegaranya, Mohammad Abualnadi, 23, yang baru diumumkan selaku rekrut terbaru Selangor FC menggantikan seorang lagi pemain Jordan, Reziq Banihani, yang telah dilepaskan untuk menyertai kelab Liga Pro Jordan, Al-Hussein.

Menurut kenyataan Selangor FC di laman Facebook, Abualnadi ditandatangani untuk memperkukuhkan posisi kiri sama ada sebagai bek kiri atau sayap kiri serta memberi lebih pilihan pemain buat ketua jurulatih, Nidzam Jamil.

“Musim 2024 menjadi batu loncatan bagi pemain berketinggan 1.88 meter ini apabila menerima panggilan skuad kebangsaan Jordan menentang Korea Utara dalam perlawanan persahabatan antarabangsa 23 Ogos lalu. Dia juga telah tersenarai dalam dua perlawanan pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Kuwait dan Palestin baru-baru ini,” kata kenyataan itu.

Nidzam percaya kehadiran Abualnadi mampu menjadi kekuatan terbaharu buat Selangor FC baik di pentas domestik atau Asia.

“Sebagai jurulatih, saya percaya beliau akan menjadi aset berharga buat pasukan sebagai pemain pertahanan dan sayap kiri. Saya juga melihat potensi beliau untuk memperkukuh dinamik barisan pertahanan, terutama dalam menghadapi ACL Two 2024/25,” katanya.

Kunjungan Selangor FC ke gelanggang Terengganu FC, Sabtu ini, dijangka meluangkan kesempatan untuk gandingan Ali Olwan-Abualnadi di barisan depan skuad Gergasi Merah itu sambil didorong oleh seorang lagi rakan senegara mereka, Noor Al-Rawabdeh, dari barisan tengah.

Satu lagi perlawanan minggu ini akan menyaksikan ketua jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad, menagih jaringan daripada penyerang import, Mykola Agapov, setelah kemarau gol dalam sembilan perlawanan liga dia ditampilkan setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram