[VIDEO] Impian beraksi di Liga Belgium tercapai, anak Fandi Ahmad mampu 'survive' di Eropah


  • Podium
  • Khamis, 25 Jan 2024

Sebahagian aksi menarik Ilhan ketika bermain bersama pasukan Deinze dI Eropah. — Instagram/ilhanfa

PASTINYA bukanlah perkara mudah bagi pemain bola sepak di Asia untuk mendapat peluang beraksi di bumi Eropah apatah lagi akan berdepan dengan saingan sengit pemain di negara tersebut.

Namun, pemain bola sepak Singapura, Ilhan Fandi akhirnya berjaya mendapatkan penampilan pertamanya di Liga Belgium bersama pasukan KMSK Deinze.

Dalam perlawanan berdepan Lierse. K tersebut, Ilhan dibawa masuk pada minit ke-85 dan kemenangan berpihak kepada pasukan Deinze dengan keputusan 4-0.

Meskipun hanya bermain selama lima minit permainan, Ilhan yang juga anak kepada Ketua Jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad dilihat tidak dapat menahan sebak usai perlawanan tamat.

BACA LAGI: Ramai akan cecah usia 40-an, 3 bintang boleh 'salin kulit' Harimau Malaya dalam kempen Piala Asia 2027

BACA LAGI: Liridon cabar fans Harimau Malaya ‘acah-acah’ Mourinho, Guardiola

Menerusi satu perkongsian video di laman rasmi Facebook, KSMK Deinze, penyerang berusia 21 tahun itu tidak dapat menahan sebak ketika memberikan ucapan penghargaan kepada pasukannya itu kerana diberi peluang beraksi.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua. Anda semua buatkan saya seperti keluarga sendiri. Saya datang dari negara yang kecil, Singapura. Sudah pasti saya dan ramai lagi mengimpikan beraksi di Eropah.

“Saya gembira anda semua terus menyokong saya walaupun saya tahu ianya sukar buat saya dan kepada semua jurulatih, saya hargai bantuan anda. Ini (debut) hanyalah permulaan,” kata Ilhan yang diiringi dengan tepukan gemuruh daripada rakan sepasukan.

Meninjau ruangan komen, rata-rata penyokong Singapura berasakan bahawa penyerang berketinggian 1.82 meter dijangka berpotensi untuk kekal beraksi di Liga Eropah.

"Dia mempunyai ciri-ciri fizikal yang memang diperlukan di Liga Eropah, nampak potensi Ilhan boleh survive di Eropah," kata Wan Edison.

"Tahniah Ilhan, Insya-ALLAH awak akan berjaya di Eropah," kata TzeTxan AhBak.

"All the best Ilhan Fandi, nampak gaya memang boleh pergi jauh di Liga Eropah," kata B Shahrizal Shariff.

Untuk rekod, Ilhan menyertai KMSK Deinze pada Januari tahun lalu dari Albirex Niigata (Singapura). Namun terpaksa menerima tamparan hebat apabila disahkan mengalami kecederaan ligamen lutut Anterior (ACL) yang memaksa pemain kelahiran Singapura itu berehat panjang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram