Bekas import Kedah, Kelantan bersatu barisi kelab Iraq


  • Podium
  • Selasa, 24 Sep 2024

Ngah Wanja (kiri) dan Amutu (kanan) bersatu di Al-Talaba.

SATU masa dahulu, kelab-kelab Liga Super pernah menjadi persinggahan beberapa nama penyerang import dari Afrika. Malah, ia masih kekal hingga kini.

Malaysia sering menjadi destinasi pemain dari Afrika untuk bermain seperti Richmond Ankrah (Penang FC), Kpah Sherman (Sri Pahang FC) dan Jordan Mintah (Kuching City).

Terdahulu, nama-nama seperti Ronald Ngah Wanja dan Austin Amutu pernah mewarnai kancah bola sepak tempatan.

BACA LAGI: Ngah Wanja 'mengamuk' di Jordan, tinggalkan bekas winger Kedah dalam carta penjaring

BACA LAGI: [VIDEO] 'Al-Fatihah sekali, selawat 3 kali', Piya kongsi cara nyalakan semangat pemain TRW sebelum turun pentas final

Ngah Wanja sebelum ini pernah bermain bersama-sama Kedah Darul Aman FC pada musim 2022 hingga mendapat jolokan 'Pak Ngah' dalam kalangan penyokong Sang Kenari.

Bersama Kedah, pemain dari Cameroon itu menjaringkan 13 gol dalam 21 penampilan Liga Super untuk kelab tersebut.

Sementara Amutu sentiasa diingati dalam kalangan penyokong Kelantan FC semasa dia menyertai kelab itu pada 2015.

Penyerang Nigeria itu bersama-sama membawa Kelantan ke perlawanan akhir Piala FA pada 2015 namun mereka kecundang kepada kelab Singapura, Lions XII di perlawanan akhir.

Kini, kedua-dua penyerang tersebut bersatu di kelab Iraq iaitu Al-Talaba menjelang musim baharu liga domestik negara tersebut.

Kedua-dua pemain itu merupakan rekrut baharu kelab tersebut dengan Ngah Wanja sebelum ini menyertai Al-Faisaly yang merupakan pasukan bekas bintang Selangor FC, Reziq Bani Hani. Sementara Amutu dari Ittihad Alexandria yang merupakan kelab Mesir.

Musim lalu, Al-Talaba menamatkan saingan divisyen satu Iraq dengan menduduki tangga kelapan daripada 20 pasukan dengan mengutip 53 mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram