'Budak baik' Penang takkan lupa detik jaring gol pertama Harimau Kumbang


  • Podium
  • Rabu, 25 Sep 2024

Dylan Wenzel-Halls meraikan jaringannya bertemu Negeri Sembilan.

PENYERANG Penang FC, Dylan Wenzel-Halls tidak akan melupakan detik dia menjaringkan gol pertama buat kelab baharunya itu.

Pemain dari Australia itu menjaringkan gol pertamanya ketika bertemu Negeri Sembilan FC untuk meletakkan Penang di depan selepas ketinggalan pada awal permainan.

Gol tersebut membolehkan Penang mendahului 2-1 selepas 16 minit perlawanan selepas Rodrigo Dias menyamakan kedudukan dua minit sebelum itu.

BACA LAGI: Bukan salah Sikh Izhan, sikap sambil lewa Harimau Kumbang punca Penang rugi di laman sendiri

BACA LAGI: ‘Budak baik’ Australia sah milik Harimau Kumbang, berat dan tinggi persis legenda kelab zaman 90-an

460992234_1087124402928213_4092679192019598855_n

Wenzel-Halls (kanan) menjaringkan gol pertamanya untuk Penang berdepan Negeri Sembilan.

Bagi Wenzel-Halls, detik menjaringkan gol pertamanya untuk Penang pasti akan diingatinya sampai bila-bila. Lebih-lebih lagi, ia dilakukan dihadapan penyokong sendiri sewaktu penampilan pertama di Stadium Bandaraya, George Town.

"Ia adalah perasaan istimewa untuk menjaringkan gol di stadium bersejarah dan di depan penyokong sendiri, satu gol yang saya akan sentiasa ingat.

"Ia adalah satu gol berpasukan yang baik, terdapat hantaran-hantaran dan build-up baik serta bantuan gol yang hebat dari Syamer Kutty Abba.

"Kami boleh mengambil sesuatu yang positif dari perlawanan ini, apabila kami menghasilkan dua gol berpasukan yang baik, kami masih berjaya mendapatkan mata dan bersedia untuk aksi seterusnya," kata Wenzel-Halls.

Dalam masa yang sama, Wenzel-Halls mengakui yang dia sedikit kecewa kerana gagal menyempurnakan misi mendapatkan tiga mata kerana keputusan seri 2-2 dicatatkan kedua-dua kelab.

Menjelang aksi berdepan Kuala Lumpur City FC pada Ahad, Wenzel-Halls tidak sabar untuk berdepan dengan pertahanan senegara iaitu Giancarlo Gallifuoco.

Menurutnya, dia pernah beberapa kali berdepan pemain itu sebelum ini dan tidak sabar untuk melakukannya sekali lagi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

"Ia seronok untuk bertemu rakan senegara. Giancarlo adalah seorang pemain yang hebat. Saya pernah bermain menentang beberapa kali sewaktu di Australia dan pertarungan menentangnya sentiasa sukar.

"Keutamaan saya adalah untuk memberikan persembahan baik serta berjuang buat Penang," ujarnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram