[VIDEO] Sebelum Nazmi, ada lagi pengadil Malaysia pernah dapat pujian dari negara jiran


  • Podium
  • Rabu, 25 Sep 2024

Nazmi ketika mengadili aksi Liga 1 antara Malut United menentang Bali United pada Ahad.

PENGADIL negara iaitu Nazmi Nasaruddin terus mengharumkan nama negara apabila dipilih untuk bertugas dalam saingan Liga 1 Indonesia yang telah berlangsung baru-baru ini.

Nazmi yang berasal dari Pulau Pinang itu mencuri tumpuan apabila menjadi pegawai utama perlawanan di Indonesia dengan mengadili aksi Liga 1 antara Malut United menentang Bali United pada Ahad.

Dalam aksi yang dimenangi oleh Bali dengan keputusan 4-1 turut menyaksikan Nazmi melayangkan kad merah kepada pemain Malut, Tatsuro Nagamatsu pada penghujung perlawanan.

BACA LAGI: Ujian DNA, analisis digital langkah Bukit Aman tingkatkan kredibiliti siasatan — KPN

BACA LAGI: [VIDEO] 'Hai Shin Tae-yong', bekas peledak gol Terengganu FC tawar diri sarung jersi Indonesia

Untuk rekod di saingan Liga Indonesia, Nazmi merupakan pengadil asing kedua yang mewarnai Liga 1 selepas pihak penganjur pernah mendapatkan khidmat Adham Tumah dari Jordan.

“Pengadil Muhammad Nazmi Nasaruddin asal Malaysia merupakan pengadil asing kedua yang diberikan kepercayaan bertugas dalam BRI Liga 1 musim ini selepas pengadil asing pertama Adham Tumah yang berasal Jordan."

Menerusi ruangan komen di media sosial, rata-rata peminat bola sepak dari Indonesia memberi kata-kata pujian kepada Nazmi sambil membandingkan kualitinya bersama pengadil tempatan.

Namun begitu, ini bukanlah kali pertama pengadil dari Liga Super mendapat pujian daripada negara jiran.

Sebelum ini, tiga pengadil dari Malaysia, Muhammad Usaid Jamal, Mohd Mu’azi Zainal Abidin dan Nadziran Eziz turut pernah mendapat pujian daripada penyokong Indonesia.

Ia selepas mereka menampilkan mutu pengadilan yang bagus sewaktu mengendalikan perlawanan persahabatan antara Indonesia dan Argentina pada tahun lalu.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut mengakui pengadil Malaysia meraih ribuan pujian selepas berjaya mengawal tempo perlawanan dengan sangat baik.

Jelas FAM dalam satu kenyataan, ketiga-tiga mereka mendapat pujian daripada peminat bola sepak di Indonesia.

"Prestasi yang ditunjukkan oleh mereka bertiga rata-rata telah mendapat pujian dan sanjungan daripada penyokong bola sepak di Indonesia.

"Muhammad Usaid telah menunjukkan satu prestasi yang cukup matang dalam perlawanan tersebut. Ia bukanlah satu tugas yang mudah memandangkan juara dunia dan gergasi Amerika Selatan itu memiliki beberapa pemain yang terbaik dan terhandal di dunia.

"Beliau pernah terlibat dalam tiga perlawanan antarabangsa termasuk semalam. Selain Singapura menentang Vietnam di kejohanan Piala AFF pada penghujung tahun 2022 dan perlawanan persahabatan Indonesia menentang Palestin baru-baru ini.

"Bagi Mohd Mu’azi yang kini berumur 36 tahun pula, beliau sudah memiliki pengalaman luas mengadili perlawanan tertinggi di FIFA dan AFC.

"Beliau merupakan antara Penolong Pengadil yang konsisten dengan prestasinya. Beliau juga telah terlibat dengan kejohanan Asia Cup 2018 di UAE.

"Manakala Nadziran Eziz merupakan seorang Penolong Pengadil yang sedang meningkat naik. Beliau telah menunjukkan satu prestasi yang cemerlang di Liga Super Malaysia," maklum FAM.

Meskipun pelbagai kritikan dilontarkan terhadap pengadil-pengadil tempatan kerana dianggap lemah dan prestasi yang sering dipersoalkan dalam Liga Malaysia.

Namun, terdapat juga dalam kalangan mereka yang masih mendapat kepercayaan daripada AFC, FIFA dan juga daripada negara-negara jiran.

Khidmat Pengadil serta Penolong Pengadil sering ditagih melibatkan perlawanan liga dan Perlawanan Antarabangsa Tier 1. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram