[VIDEO] Ucapan Safuwan sebelum aksi Selangor di Asia bawa aura berbeza, siap sempat beri penghargaan buat fans


  • Podium
  • Rabu, 25 Sep 2024

Safuwan menampilkan aksi pertahanan cemerlang ketika aksi ACL2 menentang Muangthong United. — Facebook/Selangor FC

KEMPEN Selangor FC di pentas Asia musim ini bermula dengan sedikit kekok selepas mereka hanya mencatatkan keputusan seri dalam perlawanan pembukaan menentang kelab Thailand, Muangthong United di tempat lawan.

Meskipun lawan mereka itu memiliki status tersendiri di Asia, kegagalan membawa pulang tiga mata penuh dikhuatiri hanya akan merencatkan harapan pasukan untuk ke peringkat seterusnya.

Bagaimanapun, melihat kepada gaya permainan skuad Gergasi Merah, peluang besar dimiliki kelab Lembah Klang itu untuk mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara AFC (ACL)2 musim ini.

BACA LAGI: Sedar berdepan tugas sukar di Thailand, Safuwan lega 'ekor' Gergasi Merah ikut serta perjuangan Selangor

BACA LAGI: Piala FA: Nidzam Jamil, Safuwan setuju Selangor underdog berbanding JDT

460981166_18455503318006712_9093566155737486534_n

Safuwan dilantik sebagai kapten utama skuad Gergasi Merah musim ini. Facebook/Selangor FC

Antara yang jelas berada pada tahap terbaik dalam perlawanan itu ialah kapten, Safuwan Baharudin dengan beberapa bentesan dilakukannya untuk mengganggu pemain Muangthong United.

Walaupun tidak dapat mengelak daripada menerima layangan kad kuning, pemain kebangsaan Singapura itu beraksi dengan baik dalam memastikan gawang Selangor FC hanya dibolosi sebanyak sekali.

Namun, apa yang lebih menarik mengenai kelibat pemain berusia 33 tersebut adalah mengenai sikap kepimpinannya buat pasukan dengan ucapan di dalam bilik persalinan cukup untuk menjadi bukti.

Berdasarkan klip dimuat naik pengguna TikTok @mannnz._, Safuwan memberikan kata-kata semangat sebelum perlawanan bagi membakar keazaman rakan sepasukannya.

"Sekarang, kita mesti bercita-cita besar, kita mesti percaya pasukan kita lebih baik berbanding pasukan lain. Kita juga perlu bercita-cita untuk menjadi kelab terbaik di Asia Tenggara, malah di Asia sekali pun.

"Pergi ke luar sana dan ingatlah bahawa pengorbanan yang sudah dicurahkan. Ingatlah mengenai perasaan penyokong yang sanggup hadir dengan ada yang sanggup menunggang motosikal," katanya.

Safuwan dipilih memakai lilitan tangan kapten selepas Brendan Gan tidak lagi beraksi buat skuad Gergasi Merah dengan tanggungjawab itu dipikul dengan baik olehnya.

Manakan tidak, dia yang berada di kelab itu untuk beberapa musim sudah tentu memahami budaya serta harapan tinggi diletakkan penyokong terhadap Selangor FC.

Selain itu, bek tengah pasukan tersebut juga sempat mengingatkan rakan sepasukannya untuk menghargai penyokong yang hadir selepas wisel penamat ditiupkan.

460525460_1051256507006077_7037179723518454026_n

Ratusan penyokong hadir menyaksikan aksi skuad Gergasi Merah di Thailand. Facebook/Selangor FC

"Pada akhir 90 minit, berikan senyuman kepada mereka terlebih dahulu. Dengan karakter dan keinginan anda, kita keluar ke sana dan berikan yang terbaik," katanya.

Ucapan itu turut didengari beberapa figura penting skuad Gergasi Merah seperti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Johan Kamal Hamidon serta pengendali, Nidzam Jamil.

Bagaimanapun, masing-masing hanya berdiam diri sambil mendengar ucapan Safuwan yang membuktikan pengaruhnya di dalam mahupun di luar padang.

Pasukan berkenaan pasti mahu bangkit dalam perlawanan ACL2 akan datang apabila mereka menerima kunjungan wakil Filipina, Cebu FC dalam aksi yang akan berlangsung di Stadium MBPJ, Selangor pada 3 Oktober depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram