PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan dua pemain baharu akan menyertai Harimau Malaya pada masa akan datang setelah proses dokumentasi selesai.
Mereka yang dimaksudkan ialah Wan Kuzain Wan Kamal yang kini beraksi di Amerika Syarikat serta Mats Deijl yang bermain di Eredivise bersama Go Ahead Eagles.
"Sepatutnya, kali ini, Wan Kuzain sudah menyertai kita bagi saingan Pestabola Merdeka. Dia sudah menghubungi saya sebanyak beberapa kali, namun tidak bernasib baik kerana masih cedera.
BACA LAGI: Bapa sekali lagi bagi ‘hint’, Wan Kuzain makin hampir sarung jersi Harimau Malaya
BACA LAGI: Skrip sama berulang, Wan Kuzain dilema nak pilih Malaysia atau USA sampai sekarang
"Insya-ALLAH bila dia dah pulih dan dapat pasport, dia main untuk Malaysia. Dia dah berapa kali telefon saya untuk menyatakan hasrat main untuk negara," katanya dalam sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Khamis.
Sementara itu, bagi Deijl yang beraksi sebagai bek kanan pula, kedua-dua pihak sudah menghubungi antara satu sama lain selepas pemain itu menyatakan hasratnya mewakili Harimau Malaya.
Hamidin menjelaskan status kedua-dua pemain berkenaan dalam satu sesi sidang media.
“Kita sedang dalam proses dan kita ketika ni bersama jurulatih serta staf sedang melakukan penilaian untuk membolehkannya mewakili negara,” ujar Hamidin.
Sebelum ini, Wan Kuzain beberapa kali dikatakan bakal beraksi buat Harimau Malaya, namun beberapa isu menyaksikannya kekal berada di Amerika Syarikat tanpa sebarang minit permainan di peringkat antarabangsa.
Penyerang itu boleh dianggap sebagai penyerang berpotensi untuk mengetuai jentera skuad kebangsaan selepas bertahun-tahun membuktikan diri bersama St Louis City II.
Bagi Mats Deijl pula, pemain itu layak untuk menyarung jersi Harimau Malaya memandangkan datuknya merupakan warganegara, sekali gus membolehkannya beraksi dengan status warisan.
Kemasukan kedua-dua bintang luar negara tersebut sudah tentu dapat menaikkan lagi mutu pasukan kebangsaan dalam misi mereka layak ke Piala Asia buat edisi kedua berturut-turut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram