Para SUKMA: Lumpuh separuh badan tak patahkan semangat abang 7 beradik bawa nama Pulau Pinang


  • Podium
  • Khamis, 26 Sep 2024

Zulkiffli masih meletakkan harapan untuk membawa negara dalam mana-mana pertandingan antarabangsa. — Facebook/JBS Pulau Pinang

TEMASYA Para Sukan Malaysia (SUKMA) merupakan platform terbaik untuk melonjak potensi atlet yang berada dalam kelompok orang kelainan upaya (OKU) seluruh negara.

Selain dapat menempa nama dalam kategori sukan diceburi, pertandingan itu boleh membantu mereka yang kurang berkemampuan dengan cita-cita tinggi mengubah nasib tersendiri.

Antara yang berjaya berbuat demikian ialah atlet Pulau Pinang, Mohd Zulkiffli Mazeri dengan penyertaannya dalam sukan renang diharapkan dapat membantu adik-beradiknya.

BACA LAGI: Dilapor maut akibat kemalangan, Fayadh tampil tepis berita palsu

BACA LAGI: Teruja Abualnadi ke Selangor, bakal pemain warisan tertarik sarung jersi Merah Kuning?

461166459_18032832974193895_2068432315243359675_n

Zulkiffli (tengah) dengan pingat emas diraihnya pada temasya kali ini. Facebook/JBS Pulau Pinang

Dia yang merupakan abang sulung kepada tujuh adik-beradik bersaing dalam Para SUKMA kali ini sebagai seorang peserta lumpuh separuh badan akibat kemalangan jalan raya dialaminya kira-kira 10 tahun lalu.

Meskipun mengakui perkara itu kadang kala menghantui fikirannya, dia yang kini berusia 29 tahun tidak mensia-siakan peluang kedua diterimanya dengan penyertaan dalam temasya berkenaan menjadi bukti kebangkitannya.

“Hampir setahun lebih selepas kemalangan motosikal itu saya cuba bangkit semula, ini kerana menjadi abang sulung memerlukan saya menjadi contoh kepada adik-beradik lain untuk mereka gagah dan berani melakukan apa jua perkara.

“Masuk pusat rehabilitasi di Melaka itu sangat membantu sebab saya dapat lihat orang kurang upaya (OKU) yang lebih teruk daripada saya. Jadi bila balik Pulau Pinang saya memang sudah ada sasaran kehidupan sendiri,” katanya.

461086974_18032799392193895_1809176846506403626_n

Zulkiffli mencetak nama dengan mengungguli kategori 100 meter breaststroke dalam Para SUKMA kali ini. Facebook/JBS Pulau Pinang

Keputusan Zulkiffli menceburi sukan renang juga membuahkan hasil tersendiri kerana dia sudah mewakili Pulau Pinang sebanyak tiga kali pada Para SUKMA yang diadakan di Sarawak ketika ini.

Peserta berkenaan berjaya menamatkan saingan di tempat kelima daripada lapan peserta bagi acara 50 meter kuak kupu-kupu lelaki S6/S7 (kecacatan fizikal) selepas merekodkan masa seminit 4.19 saat (s).

Wakil Sabah Shahafiq Abdullah muncul juara dengan catatan 37.56s, manakala atlet tuan rumah, Galang Jabai dan Muhammad Syafiq Azman dari Kedah masing-masing di tempat kedua (44.72s) dan ketiga (45.35s).

Bagaimanapun, dalam penyertaan kali ini, Zulkiffli masih meraih kenangan tersendiri dengan pingat emas yang dibawa pulang daripada acara 100 meter breaststroke.

Berkongsi pengalaman selama setahun setengah berada di pusat rehabilitasi, Zulkiffli berkata, dia pada mulanya diperkenalkan dengan sukan lawan pedang, memanah dan angkat berat tetapi merasakan sukan berkenaan tidak mencuri hatinya sama sekali.

312521472_486261866871768_8548202520818274383_n

Zulkiffli (tengah) ketika berentap dalam temasya Para SUKMA 2022. Facebook/JBS Pulau Pinang

Namun, setelah diperkenalkan dengan sukan renang pada 2017, dia menganggap pengalaman itu sebagai jatuh cinta pandangan pertama kerana sudah biasa menangkap ikan dalam air sebagai hobinya pada waktu lapang.

“Sekarang, saya memang sepenuh masa menjadi atlet renang. Kalau pergi latihan pun, saya akan pandu kereta sendiri yang sudah diubah suai dari Pekan Penaga, Pulau Pinang ke Universiti Sains Malaysia (USM) yang mengambil masa kira-kira sejam lebih.

“Macam saya lumpuh separuh badan dari paras dada sehingga kaki, jadi kalau latihan saya kena kuatkan bahagian tangan sebab masa berenang memang berharap pada kekuatan tangan,” katanya.

Zulkiffli juga mengakui dia masih menyimpan harapan mewakili negara pada temasya antarabangsa selepas tawaran menyertai temasya di Manila, Filipina pada 2019 terpaksa dibatalkan akibat pandemik Covid-19. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram