Richard Bada pecah rekod lempar cakera, Badrul Hisam dengar nasihat Ziyad sebelum rangkul emas untuk Johor


  • Podium
  • Selasa, 24 Sep 2024

(Dari kiri) Teckman Mary, Abdullah Syawal Mjarol dan Richard Bada yang mengungguli acara lempar cakera pada Para SUKMA tahun ini.

ATLET para lempar cakera Sarawak, Richard Bada memecahkan rekodnya sendiri dalam kejayaannya merangkul pingat emas acara cakera pada Sukan Para Malaysia (SUKMA) di Sarawak.

Richard melontar sejauh 25.53 meter (m) di Stadium Sarawak di Petra Jaya dekat Kuching pada Isnin untuk menjadi rakyat Sarawak pertama memenangi emas dalam olahraga pada SUKMA kali ini.

Lebih menarik pada acara berkenaan, Sarawak membolot semua pingat dalam acara berkenaan selepas Teckman Mary (20.57) dan Abdullah Syawal Mjarol (17.55) masing-masing memenangi perak dan gangsa.

BACA LAGI: Para SUKMA: Baru 2 hari berlangsung, atlet Kedah, Sarawak antara berjaya pecahkan 5 rekod olahraga

BACA LAGI: SUKMA pun dah ‘berjangkit’, aksi final Melaka-WP dicemari adegan cekik, dihalau padang

Bercakap mengenai kemenangannya dalam acara berkenaan, Richard gembira dapat menyumbang pingat buat negeri kelahirannya, yang juga tuan rumah SUKMA untuk tahun ini.

“Saya berasa gembira dan bangga kerana berjaya mencipta rekod baharu dan memenangi emas.

“Saya sentiasa mahu memberikan yang terbaik untuk negeri saya. Kemenangan ini istimewa buat saya kerana ia adalah emas pertama Sarawak dalam olahraga.

“Ini sangat bermakna dan saya mendedikasikan emas ini kepada keluarga yang sentiasa menyokong saya," katanya.

Sementara itu, Badrul Hisam Musa yang mempunyai masalah rabun dekat, dahulunya hanya bergantung kepada video YouTube untuk menyempurnakan teknik lontaran lontar pelurunya tetapi petua daripada atlet paralimpik negara, Mohd Ziyad Zolkefli yang mendorongnya mencipta sensasi pada Isnin.

badrul badrul

Atlet para lontar peluru Johor, Badrul Hisam Musa.

Atlet kelahiran Johor berkenaan bukan sahaja menggondol emas Para SUKMA pertamanya dalam kategori lontar peluru lelaki F12 (cacat penglihatan), malah dia juga memecahkan rekod peribadinya sebanyak tiga kali.

Pemain berusia 31 tahun itu mencatat rekod sukan 9.70m sebelum ini pada edisi 2022, mengatasinya dengan usaha 11.36m pada percubaan pertamanya, diikuti 11.38m (ketiga) dan 11.85m (kelima).

Badrul Hisam mengatasi pemenang pingat perak dan rakan sepasukannya iaitu Mohd Firdaus Ngatiman 8.98m dan pemenang pingat gangsa, Hafiz Puini yang mencatat 5.22m dari Sarawak.

Badrul Hisam berkata, kata-kata semangat Ziyad semasa sesi latihan terbukti menjadi inspirasi buatnya, lebih-lebih lagi selepas Ziyad merangkul pingat perak dalam kategori lontar peluru lelaki F20 (cacat intelek) pada Paralimpik Paris baru-baru ini.

“Beliau menasihati saya untuk bekerja keras dan berkorban masa dan tenaga jika saya mahu lebih berjaya. Malah semasa sesi latihan, dia sering mengajar saya teknik balingan yang lebih baik,” kongsinya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram