Cari 'bapa angkat' jalan terbaik kontinjen para Selangor raih dana, kurang bergantung kepada MSN


  • Podium
  • Ahad, 22 Sep 2024

Kontinjen Para SUKMA Selangor berada dalam landasan terbaik untuk merebut tempat ketiga carta kutipan pingat.

LAYANAN pihak pengurusan sukan terhadap atlet para masih belum dibuat seadilnya meskipun wakil negara sudah mencipta nama masing-masing di peringkat antarabangsa.

Meskipun sudah terdapat perbezaan berbanding tahun-tahun sebelum ini, masih kedengaran keluhan daripada jurulatih mahupun ahli Majlis Sukan Negeri (MSN) mengenai suntikan dana terhad daripada pihak atasan.

Hal itu dikhuatiri akan menyukarkan lagi hasrat negara untuk terus melahirkan lebih ramai atlet para dengan latihan perlu diberikan di peringkat akar umbi.

BACA LAGI: Mahu terbang jauh, atlet pecut paralimpik Negeri Sembilan idam emas di temasya SUKMA

BACA LAGI: [VIDEO] Penat SUKMA belum habis, ‘ubi muda’ Petaling Perdana pasang impian ke Sukan SEA

460446040_18328784590195627_1410838219122829515_n

Sasaran 29 emas diletakkan buat kontinjen Para SUKMA Selangor. Facebook/JBS Selangor

Antara yang sudah tentu terkesan mengenainya ialah jurulatih kontinjen negeri menjelang saingan Para Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan bermula pada Ahad di Sarawak.

Presiden Persatuan Sukan & Rekreasi Orang Kurang Upaya Negeri (Pesron) Selangor, Amrol Ambia turut mengakui sumbangan daripada MSN Selangor sedikit terhad, namun mengakui kebajikan mereka sudah sedikit terjaga kebelakangan ini.

"Melihat kepada sumbangan MSN negeri agak terhad dengan kemungkinan ia kerana sukan para bukan diletakkan di bawah (kendalian) mereka.

"Bagaimanapun, akhir-akhir ini, mereka mula mendengar luahan kami daripada sukan para dan diharapkan ada tindakan dan penambahbaikan," katanya kepada Majoriti.

458214154_3085102131631735_8757855194265793010_n

Amrol (tengah) yakin terdapat cara untuk membantu JBS Selangor meraih dana. Facebook/Amrol Ambia

Berdasarkan laporan sebelum ini, kontinjen para negeri bagi dikendalikan Jabatan Belia dan Sukan (JBS) negeri dengan perkara tersebut sedikit mengehadkan perolehan dana daripada pihak MSN yang menguruskan atlet Selangor.

Dalam pada itu, Amrol masih berpandangan terdapat cara untuk memastikan dana dapat diperoleh pasukan atlet para Selangor tanpa mengharapkan bantuan berterusan daripada pihak MSN.

"Salah satunya adalah dengan mencari 'bapa angkat' dari sektor korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau swasta bagi acara-acara sukan para.

"Mereka juga boleh mencari badan penajaan daripada mana-mana pihak bagi tujuan dana bagi membolehkan misi melahirkan atlet berpotensi tinggi," katanya lagi.

459577476_18328764364195627_8792127936885822254_n

Amrol (bawah, kiri) juga terlibat bersama RGPAC. Facebook/Amrol Ambia

Amrol yang juga merupakan Pengurus Kelab Atlet Para Red Giants (RGPAC) turut berasakan pendedahan berterusan di media sosial mengenai atlet merupakan cara terbaik dalam mempromosikan atlet kepada orang ramai yang sekali gus dapat menarik suntikan dana.

Pada temasya Para SUKMA dua tahun lalu, pasukan Selangor menamatkan saingan di kedudukan keempat daripada 15 pasukan dengan 78 pingat secara keseluruhan diraih.

Kedudukan itu sudah tentu diharapkan dapat diperbaiki dalam misi kontinjen para Selangor mengulangi pencapaian skuad SUKMA Selangor yang meraih 181 pingat emas untuk berada di tangga ketiga.

Jadi, tidak hairanlah apabila pasukan para negeri meletakkan sasaran 29 pingat emas dengan kedudukan ketiga carta kutipan pingat juga menjadi sasaran mereka.

Bagi merealisasikan misi tersebut, seramai 104 atlet akan berentap dalam semua 10 acara dipertandingkan dengan kesemua mereka akan dibantu 56 jurulatih, pengurusan dan pegawai pengiringan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram