PENCAPAIAN atlet para angkat berat, Bonnie Bunyau pada temasya Paralimpik 2024 amat membanggakan kerana dia berjaya membawa pulang pingat emas selain memecahkan rekod dunia.
Kejayaan itu menyaksikan anak jati Serian, Sarawak berkenaan mengulangi pencapaiannya di Tokyo tiga tahun lalu dengan dia merupakan antara atelt angkat berat terbaik pernah disaksikan negara.
Namun, ramai tidak tahu bahawa abang kepada Bonnie iaitu Bryan Junency Gustin juga tidak kurang hebatnya kerana turut menceburi sukan itu dalam temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) yang sedang berlangsung di Sarawak.
BACA LAGI: Cari 'bapa angkat' jalan terbaik kontinjen para Selangor raih dana, kurang bergantung kepada MSN
BACA LAGI: [VIDEO] Sukan Paralimpik 2024: Bonnie pecah rekod dunia lagi
Bryan (tengah) membuktikan kebolehannya untuk berentap dalam temasya Para SUKMA. — Harian Metro
Malah, dia juga berjaya membuktikan kualitinya berada dalam kelas tersendiri apabila sudah meraih dua pingat emas dalam kategori angkatan terbaik serta jumlah angkatan.
Tidak cukup dengan itu, Bryan juga memecahkan rekod Para SUKMA dan rekod kebangsaan ketika berentap dalam acara powerlifting yang diadakan di Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak pada Selasa.
Berdasarkan laporan, Bryan melakukan angkatan 180 kilogram (kg) pada angkatan pertama disusuli angkatan kedua iaitu seberat 185 kg sebelum memecahkan rekod para SUKMA dan kebangsaan seberat 191 kg.
Namun, usahanya untuk terus memperbaharui catatan berkenaan tidak berhasil selepas percubaan dalam angkatan keempat dengan berat 201 kg dibatalkan pihak juri.
"Saya secara tidak sengaja terlanggar rak barbel yang menghalang saya daripada mencatatkan rekod baharu. Pada permulaan untuk angkatan pertama, saya sangat gementar.
"Tetapi, bagi angkatan kedua dan ketiga sudah mula merasa yakin, Bagaimanapun, saya boleh katakan nasib tidak menyebelahi saya dalam usaha memperbaiki rekod,” katanya.
Bonnie berada dalam kelas tersendiri dalam acara angkat berat di Paralimpik.
Malah, Bryan yang kini berusia turut berbangga dengan kejayaan adiknya dan mahu mengikut langkahnya dengan sasaran diletakkan baginya bersaing dalam Sukan SEA 2027.
"Sebelum ini, saya pernah berentap dalam temasya Sukan SEA 2023 di Kemboja dan saya akan terus berusaha keras dan berikan yang terbaik," kata atlet tersebut.
Sumbangan Bryan itu sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Sarawak sebagai pendahulu dalam carta kutipan pingat dengan 41 emas, 26 perak dan 29 gangsa sudah dikutip.
Catatan tersebut menyaksikan mereka jauh meninggalkan Sabah yang berada di kedudukan kedua dengan 65 pingat sementara Selangor berada di kedudukan ketiga dengan 56 pingat terkumpul. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram