MANCHESTER United gagal memulakan kempen Liga Eropah UEFA (UEL) dengan langkah kanan apabila sekadar mencatatkan keputusan seri dalam aksi pembukaan menentang kelab Belanda, FC Twente pada awal pagi Khamis.
Pasukan berkenaan pada awalnya meraih gol pendahuluan menerusi Christian Eriksen pada minit ke-35 permainan selepas pemain tengah tersebut mengambil kesempatan daripada situasi bola muntah dalam kotak penalti lawan.
Aksi di Stadium Old Trafford itu diteruskan dengan peluang demi peluang yang diraih, namun gagal disempurnakan barisan serangan terbaik yang dimiliki mereka.
BACA LAGI: Lepas aksi serba tak menjadi, Ten Hag yakin Rashford kembali 'on track'
BACA LAGI: Hanya Zidane boleh ganti Ten Hag walaupun tak reti berbahasa Inggeris
Tetapi, malang kemudiannya menimpa selepas pemain The Red Devils mudah dirobek lawan sebelum ia disudahkan penyerang FC Twente, Sam Lammers untuk mengikat kedudukan pada minit ke-68.
Gol itu berpunca daripada kesilapan Erikson yang gagal mengawal bola dengan baik sebelum dirampas oleh Lammers.
Keputusan berkenaan sudah tentu sukar diterima penyokong Manchester United yang mengakui prestasi pasukan itu masih belum berada di tahap terbaik dalam saingan UEL mahupun dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Jaringan Sam Lammers menghalang kemenangan Manchester United. — Agensi
Malah, pengurus kelab, Erik ten Hag turut mengakui anak-anak buahnya acap kali mensia-siakan peluang untuk memastikan tiga mata penuh dapat dibawa pulang mereka.
Dalam sesi sidang media selepas perlawanan, jurulatih kelahiran Belanda tersebut jelas kecewa dengan persembahan pemain yang tidak menampilkan gaya permainan terbaik.
"Anda sendiri boleh lihat sepanjang aksi itu, mereka (FC Twente) beraksi cemerlang dalam segala aspek sementara kita hanya memberikan 99 peratus. Ini tidak cukup kerana kita perlu berikan persembahan terbaik 100 peratus.
"Anda perlu 'membunuh' perlawanan, anda perlu menyudahkan setiap peluang yang hadir. Gol kedua perlawanan boleh memastikan aksi berpihak kepada kita," katanya.
Keputusan seri yang dialami itu turut menyaksikan Manchester United tercicir mata buat dua perlawanan berturut-turut selepas turut mengalami nasib sama ketika berdepan Crystal Palace di EPL.
Ten Hag mahu kekurangan The Red Devils diperbaiki. — Agensi
Meskipun dapat mengelak daripada tewas, satu mata yang direkodkan boleh dikatakan tidak cukup melihat kepada cita-cita besar ditetapkan skuad The Red Devils di peringkat domestik dan Eropah musim ini.
Dalam pada itu, ten Hag mahu penambahbaikan dalam pelbagai aspek pasukan, termasuk dari segi serangan dengan dia enggan anak-anak buahnya mensia-siakan peluang diraih.
"Kita perlu bekerja keras dalam hal ini. Ia merupakan sesuatu yang jelas dengan kita perlu mengambil peluang dalam setiap keadaan. Saya juga rasa ada masalah lain yang berbangkit.
"Pasukan ini perlu konsisten pada separuh masa kedua. Jangan biarkan lawan mengejar kita dengan segera dapatkan gol kedua kerana barisan serangan kami memiliki pemain yang boleh merekodkan jaringan," katanya.
Selepas ini, Manchester United akan berdepan Tottenham Hotspur di laman sendiri pada Ahad sebelum berlepas ke Portugal untuk perlawanan kedua UEL menentang FC Porto. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram