SKUAD The Red Devils kempunan untuk meraih tiga mata berharga dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas hanya mencatatkan keputusan seri ketika berdepan Crystal Palace di Selhurst Park, England pada Ahad lalu.
Perlawanan yang berakhir dengan keputusan 0-0 itu menyaksikan Manchester United kekal di tangga ke-11 dengan tujuh mata dikutip pasukan itu setakat lima perlawanan.
Keputusan berkenaan pasti mengecewakan Erik ten Hag serta anak-anak buahnya kerana serangan bertali-arus sudah dilancarkan ke arah pintu gawang tuan rumah.
BACA LAGI: Dijangka lebih 'clean sheet' berbanding Onana, ex hero Man United makin hampir sertai kelab Itali
BACA LAGI: Selamatkan maruah Man United, penjaga gol muda Republik Czech disaran ganti Onana
The Red Devils kini berada di tangga ke-11 EPL selepas lima perlawanan. — Agensi
Namun, ketumpulan barisan serangan, termasuk daripada Rasmus Hojlund membuatkan skuad The Red Devils gagal meraih kemenangan ketiga mereka musim ini.
Kegagalan meraih tiga mata penuh itu sudah tentu membuatkan penyokong mula mempersoalkan kebolehan pemain yang disambar dengan yuran perpindahan mencecah €72 juta (RM337.6) pada 2023.
Meskipun hanya beraksi selama kira-kira 15 minit, ia tidak menghalang orang ramai daripada mempertikaikan kualiti dimiliki pemain 21 tahun berkenaan dalam memacu skuad The Red Devils.
Tampil mempertahankan pemain antarabangsa Denmark tersebut ialah penjaga gol The Red Devils, Andre Onana yang beranggapan Hojlund akan menjadi aset utama pasukan pada tahun-tahun akan datang.
"Dia merupakan pemain utama kita dan kami semua gembira atas kepulangannya bersama (Tyrell) Malacia yang juga sudah turun ke sesi latihan bermula Jumaat lalu.
"Jadi, ini adalah satu perkembangan baik buat pasukan dengan pengurus sudah memiliki peluang membuat pilihan dan ia membawa kegembiraan buat kami," katanya selepas perlawanan.
Hojlund dipersalahkan atas ketumpulan Manchester United. — Agensi
Dalam aksi berkenaan, Onana turut memainkan peranan penting dalam memastikan satu mata diraih Manchester United selepas melakukan empat tepisan sepanjang pertemuan itu.
Ini sekali gus menyaksikan tonggak skuad kebangsaan Cameroon itu merekodkan tiga 'clean sheet' musim ini dengan ia merupakan perubahan positif berbanding musim lalu.
Onana juga sempat menegaskan Hojlund akan membawa kelainan buat skuad The Red Devils dengan kepulangannya diakui diperlukan Manchester United dalam kempen kali ini.
"Kami memerlukannya di atas padang kerana saya tahu dia akan menjaringkan gol penting buat kami. Kita memerlukan semua pemain kembali dan saya akui gembira melihatnya pulang.
"Kita tidak menang hari ini (Ahad) tetapi kami hadir dengan mentaliti kemenangan. Jadi, saya akui kita pulang dengan perasaan kecewa," kata penjaga gawang itu lagi. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram