'Patik merafak sembah mohon keampunan', Sanusi minta maaf pertikai institusi kesultanan Selangor


  • Primer
  • Rabu, 25 Sep 2024

Muhammad Sanusi kemuka permohonan maaf atas tindakannya yang didakwa mempertikai kewibawaan institusi kesultanan Selangor.

SUSULAN kenyataan yang didakwa mempertikai kewibawaan institusi kesultanan Selangor tahun lalu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tampil mengemukakan permohonan maaf pada Rabu.

Ia susulan tindakannya yang didakwa mempertikaikan kewibawaan institusi kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besar negeri berkenaan pada tahun lalu.

Menteri Besar Kedah itu memaklumkan warkah permohonan maaf itu sudah dihantar kepada baginda.

BACA LAGI: Kenyataan Sanusi panas, cuma ramai senada ukur baju di badan sendiri jangan jadi macam JDT

BACA LAGI: 'Jangan paksa anak cuaca tak menentu', legenda Selangor nasihat ibu bapa selepas remaja rebah dan meninggal dunia

"Patik, Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah dengan penuh hormat dan takzimnya merafak sembah memohon keampunan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Tuanku Sultan Selangor.

"Atas kenyataan patik pada 11 Julai 2023 di Taman Selayang Mutiara dalam Daerah Gombak, Selangor seperti mana yang telah dipertuduhkan terhadap patik di mahkamah yang dianggap menghina dan tidak menghormati Tuanku.

“Patik menyedari bahawa kata-kata patik telah menimbulkan rasa tidak selesa dan telah mengguris hati dan perasaan Tuanku dan patik benar-benar kesal atas segala kesan negatif yang telah timbul daripada kenyataan patik tersebut.

“Patik ingin menyembah maklum kepada Tuanku bahawa tiada niat di hati patik untuk mempersendakan Tuanku yang amat patik hormati dan sanjung selama ini,” tambahnya.

2170111

Muhammad Sanusi merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah.

Beliau juga mengakui dan sedar, dirinya tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata yang tidak beradab, menghina dan tidak sopan ketika berada di negeri orang khususnya Selangor.

“Patik tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata yang tidak beradab, menghina dan tidak sopan seperti mana yang telah patik perkatakan walaupun ucapan tersebut dibuat ketika suasana kehangatan kempen pilihan raya.

"Oleh itu, dengan penuh rasa insaf dan rendah diri, patik memohon beribu keampunan kepada Tuanku Sultan Selangor serta Menteri Besar Selangor dan rakyat Selangor atas segala keterlanjuran kata-kata patik,” katanya lagi.

Beliau turut berjanji untuk lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan pada masa akan datang dan akan memastikan setiap ucapannya selaras dengan adab sopan budaya Melayu yang sentiasa menjunjung tinggi Raja-Raja Melayu dan institusi Raja. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram