KEMERIAHAN kurang dirasakan sepanjang jendela perpindahan kedua Liga Malaysia dengan hanya beberapa pasukan membuat pelaburan untuk memperkuatkan skuad masing-masing.
Isu tersebut dilihat berpunca daripada masalah kewangan dialami sebahagian besar pasukan yang lebih sibuk mencari jalan penyelesaian terhadap kemelut tunggakan gaji dialami.
Tetapi, masih terdapat beberapa kelab yang mengambil peluang sepanjang tempoh berkenaan untuk membawa masuk wajah baharu untuk membaiki kelemahan di atas padang.
BACA LAGI: Jendela perpindahan dah dibuka, tapi 3 kelab diramal duduk diam 'tak keluar modal'
BACA LAGI: Arsenal lamar Sterling, Sancho sertai Chelsea saat-saat akhir sebelum jendela perpindahan ditutup
Jendela perpindahan Liga Malaysia ditutup dengan aktiviti kurang sibuk. — Facebook/MFL
Masa sudah pasti diberikan penyokong terhadap pemain-pemain berkenaan dengan masing-masing enggan meletakkan harapan terlalu tinggi bagi mereka memberikan impak segera.
Bagaimanapun, selepas beberapa perlawanan dilalui, beberapa wajah baharu itu sudah dapat menyesuaikan diri sehingga membuatkan pihak pengurusan berpuas hati atas keputusan dibuat.
Selain menampilkan aksi cemerlang, tiga pemain berkenaan sudah memberikan impak untuk membantu pasukan berdasarkan peranan diberikan barisan kejurulatihan di atas padang.
1. Park Jun-heong
Benteng pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT) ketika ini sememangnya cukup utuh berbanding pasukan lain dalam Liga Super meskipun ia tidak sebegitu baik berbanding musim lalu.
Namun, ia tidak menjadi batu penghalang buat jaguh bola sepak tanah air itu daripada membawa masuk pemain pertahanan baharu memandangkan misi sukar menanti mereka dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite.
Pemain kelahiran Korea Selatan, Park Jun-heong menjadi pilihan skuad Harimau Selatan berdasarkan pengalaman dimilikinya beraksi dalam beberapa liga seperti di Thailand dan Portugal.
Jun-heong menampilkan aksi pertahanan yang mantap. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Debut pertama direkodkan pemain itu adalah ketika aksi kumpulan ACL Elite ketika JDT berdepan Shanghai Port di China dengan kecederaan menghalangnya daripada beraksi selama 90 minit.
Bagaimanapun, sepanjang berada di atas padang, Jun-heong menampilkan aksi terbaik dengan persembahan itu diulangi ketika pasukan Selatan tanah air berkenaan berdepan Kelantan Darul Naim FC di Liga Super pada Ahad.
Sekiranya prestasi itu dapat diteruskan, terdapat kemungkinan besar pemain berusia 31 tahun tersebut akan terus memainkan peranan penting buat skuad Harimau Selatan.
2. Ali Olwan
Keputusan mengejut diambil Selangor FC pada awal jendela perpindahan kedua apabila mereka memilih untuk melepaskan pemain sayap muda, Reziq Bani Hani yang pulang ke Jordan.
Tindakan itu menimbulkan persoalan mengenai pengganti kepada penyerang sayap berkenaan yang mampu mencipta jaringan di samping membuat pecutan untuk merencanakan gerakan.
Kegusaran berkenaan segera terjawab selepas Ali Olwan beraksi buat kali pertama ketika dia diturunkan dalam aksi Liga Super menentang Kuching City FC di laman sendiri.
Ali Olwan dapat menyesuaikan diri dengan mudah dalam skuad Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC
Dia yang dibawa masuk sebelum tempoh perpindahan dibuka tidak memerlukan masa lama untuk mencipta persefahaman bersama Alvin Fortes dan Ronnie Fernandez.
Malah, Ali Olwan juga sudah membuka akaun jaringan buat skuad Gergasi Merah ketika pasukan itu membenam Kuching City FC yang mengukuhkan lagi kedudukan mereka dalam Liga Super.
Pemain berusia 24 tahun tersebut pasti akan dikekalkan sekiranya prestasi cemerlang itu diteruskan dengan mereka memiliki peluang cerah untuk layak ke ACL2 buat dua musim berturut-turut.
3. Dylan Wenzel Halls
Isu ketumpulan jentera serangan merupakan masalah terbesar dialami skuad Harimau Kumbang beberapa musim kebelakangan ini yang membuatkan mereka sukar memberi saingan.
Bagaimanapun, penyelesaian terhadap isu tersebut seperti sudah ditemui selepas kelab Utara tanah air berkenaan membawa masuk pemain dari Australia, Dylan Wenzel-Halls.
Perpindahan itu dimeterai pada awal September selepas Penang FC berjaya menandatangani pemain itu dari juara bertahan Piala AFC, Central Coast Mariners.
Wenzel-Halls membuka jaringan ketika berdepan Negeri Sembilan FC. — Facebook/Penang FC
Dia tidak mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri apabila membawa impak ketika diturunkan buat kali pertama dalam aksi Liga Super menentang JDT.
Tidak lama selepas itu, Wenzel-Halls sekali lagi mencuri nama setelah merekodkan gol sulungnya buat skuad Harimau Kumbang ketika pasukan itu mencatatkan keputusan seri ketika berdepan Negeri Sembilan FC.
Jika peluang terus diberikan buat pemain berusia 26 tahun itu, Penang FC memiliki peluang cerah untuk sekurang-kurangnya berada dalam kelompok lima pasukan teratas memasuki penghujung musim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram