Hampir 2 musim bersama Perak, anak jati Sabah beri hint ucap selamat tinggal


  • Podium
  • Sabtu, 21 Sep 2024

Syukri hanya tampil dalam empat aksi bersama Perak sejak 2023. — Facebook/PerakFC

BERBAKI sehari lagi sebelum jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) melabuhkan tirainya, pelbagai berita penghijrahan menjadi topik utama dibicarakan dalam kalangan penyokong.

Ada yang berhijrah ke pasukan lain dek masalah kewangan kelab dan tidak kurang juga sesetengah pemain memilih untuk berkelana ke pasukan lain kerana bergelut untuk mendapatkan minit permainan.

Masalah kurang mendapat peluang untuk meraih tempat dalam pasukan itu juga berlaku kepada salah seorang tonggak Perak FC, Syukri Baharun yang dilaporkan memutuskan untuk meninggalkan Perak FC.

BACA LAGI: Lebih gemar seri, Sri Pahang dikritik tak ambil kesempatan isu boikot Kedah

BACA LAGI: Kutip satu mata berharga, Ronnie jangka aksi lebih sukar buat Selangor

Meskipun tiada sebarang pengumuman rasmi daripada Perak FC namun berita perpisahan itu seolah-olah diumumkan secara tidak langsung oleh pemain berusia 25 tahun berkenaan menerusi InstaStory peribadinya.

"Semoga maju jaya Perak FC," tulisnya ringkas yang seperti memberi petunjuk mengenai kontraknya bersama skuad The Bos Gaurus (TBG).

Sejak menembusi skuad utama pada 2023, pemain yang beraksi di posisi tengah berkenaan tidak mendapat peluang sepatutnya oleh barisan jurulatih dan ia mula berlaku apabila Syukri tidak habis-habis bergelut dengan isu kecederaan.

WhatsApp Image 2024-09-21 at 14.05.49

Tangkap layar Syukri mengucapkan selamat tinggal kepada Perak.

Hadir sebagai pemain terbaik Melaka United FC (MUFC) dengan khidmatnya turut direbut oleh Terengganu FC dan Penang FC sebelum ini, karier Syukri bersama TBG bagaimanapun serba tidak menjadi dengan dia hanya tampil dalam empat aksi sejak 2023.

Apabila bercakap mengenai kenangan Syukri bersama Perak, pasti insiden anak jati Kunak, Sabah berkenaan diterjah kasar oleh Zahrul Nizwan Joe Kifli dalam aksi menentang Kuching City FC pada 2023 paling diingati.

Kekasaran terbabit jelas mengundang kecederaan kepada Syukri sehingga memaksa pihak perubatan mengusungnya pada minit-minit akhir permainan tetapi pemain tengah skuad The Cats itu hanya diberikan kad kuning meskipun terjahannya dilihat cukup berbahaya.

Selepas insiden berkenaan, bekas pemain Sabah FC itu tidak lagi kembali beraksi di saingan domestik sehinggalah khidmatnya digunakan semula pada musim 2024, iaitu ketika perlawanan menentang Terengganu pada Mei lalu.

Dengan hanya beraksi tiga perlawanan musim ini, keputusan meninggalkan Perak itu dilihat adalah jalan terbaik buat Syukri dan sebaiknya mula berkelana ke pasukan lain sementara jendela perpindahan masih berlangsung sehingga Ahad ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram