AKSI Liga Super cukup getir menanti skuad The Bos Gaurus (TBG) apabila mereka akan menerima kunjungan Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Perak, Ipoh pada Sabtu.
Pertembungan itu sememangnya penting buat kedua-dua pasukan yang mengalami prestasi cukup berbeza kebelakangan ini dengan kelebihan jelas dimiliki pasukan pelawat.
Bagaimanapun, kebolehan Perak FC mencipta keputusan mengejut tidak boleh diperkecilkan dengan beberapa kelab sudah menjadi mangsa kepada pasukan Utara tanah air tersebut.
BACA LAGI: Kedah hampir tutup kedai? Skuad B-23 jadi pilihan lawan lawan KL City
BACA LAGI: Enam daripada 11 tak senyum, fans Kedah sudah 'predict' awal keputusan lawan KL City
Tiga mata penuh jadi sasaran skuad TBG dalam aksi menentang KL City FC. — Facebook/Perak FC
Selain itu, pasukan bimbingan Yusri Che Lah itu juga mempunyai kelebihan kerana sebilangan daripada skuad Warga Kota pernah beraksi bersama skuad TBG.
Walaupun hal itu sudah lama berlalu, gaya permainan yang tidak jauh bezanya akan memberi peluang buat Perak FC mengetahui keupayaan pemain-pemain berkenaan.
Melihat kepada skuad KL City FC ketika ini, berikut merupakan tiga pemain yang dahulunya pernah mengerah keringat buat skuad TBG dengan pelbagai kenangan manis diberikan.
1. Brendan Gan
Salah seorang pemain terbaik dalam skuad Warga Kota ketika ini pastinya bekas pemain kebangsaan, Brendan Gan yang merupakan jeneral utama di bahagian tengah.
Meskipun sudah berusia 36 tahun, pemain warisan itu masih mampu bekerja keras sepanjang berada di atas padang, baik dalam usaha mematahkan serangan lawan mahupun merencanakan gerakan pasukan.
Perkara itu pasti tidak asing bagi penyokong Perak FC yang pernah menyaksikan Brendan Gan di kemuncak kariernya sepanjang dua tahun dia menabur bakti buat pasukan itu.
Brendan Gan terus menmapilkan aksi cemerlang buat skuad Warga Kota. — Facebook/Kuala Lumpur City
Sikap kepimpinannya di atas padang menjadikannya sebagai salah seorang pemain tengah terbaik pernah dimiliki skuad TBG dalam zaman Liga Super.
Momen terbaik bagi pemain berkenaan sudah tentu ketika dia membantu kelab tersebut menjulang Piala Malaysia 2018 menerusi gol dalam perlawanan akhir epik menentang Terengganu.
Ketangkasan dan sikap tidak pernah mengalah juga membuatkannya cukup digemari penyokong yang sehingga kini mengharapkannya pulang sebagai pemain sebelum menamatkan kariernya.
2. Hafizul Hakim
Seorang lagi watak utama ketika skuad TBG menjuarai Piala Malaysia 2018 ialah penjaga gol, Hafizul Hakim yang menepis dua sepakan ketika penentuan penalti.
Sumbangan itu jelas membantu penyokong melupakan kesilapan awal yang dilakukannya pada awal permainan sehingga menyebabkan pasukannya ketinggalan dengan dua gol pada babak pertama.
Hafizul kini merupakan salah seorang penjaga gol skuad Warga Kota. — Facebook/Kuala Lumpur City
Jadi, tidak hairanlah apabila penyokong masih mengharapkan kepulangannya pada jendela perpindahan lalu ketika Hafizul berstatus ejen bebas berikutan penamatan kontrak bersama Harini FT.
Bagaimanapun, perancangan berbeza daripada pihak pengurusan Perak FC menyaksikan hasrat berkenaan gagal direalisasikan dengan dia kemudiannya memilih untuk ke ibu kota.
Hasrat penyokong skuad TBG untuk menyaksikannya pulang ke Stadium Perak akan tercapai pada Sabtu dengan dia pasti akan bersama kelab itu walaupun hanya berada di bangku simpanan.
3. Kenny Pallraj
Pemain serba boleh, Kenny Pallraj sememangnya amat sinonim dengan skuad TBG kerana dia merupakan anak jati Ipoh, Perak dan pernah beraksi di kelab itu sejak akar umbi lagi.
Malah, sepanjang kariernya, dia yang kini sering beraksi sebagai bek tengah itu menghabiskan majoriti daripada zaman permainannya di kelab Utara tersebut.
Kenny (kiri) lebih kerap diturunkan sebagai bek tengah ketika ini. — Facebook/Kuala Lumpur City
Ini termasuk ketika kelab berkenaan sempat beraksi di pusingan kelayakan Liga Juara-Juara AFC (ACL) hasil kejayaan Piala Malaysia 2018.
Tetapi, isu pengurusan pada 2021 menyaksikan pemain berusia 31 tahun berkenaan berkelana ke ibu kota dengan dia sudah menghabiskan tempoh empat tahun bersama skuad Warga Kota.
Melihat kepada skuad ketika ini, Kenny sudah tentu diturunkan ketua jurulatihnya, Miroslav Kuljanac untuk memastikan benteng KL City FC terus ampuh. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram