Lepas 2 bulan di Vietnam, Endrick cetak gol sulung bantu pasukan bangkit curi 3 mata


  • Podium
  • Isnin, 23 Sep 2024

Endrick lebih kerap memanaskan bangku simpanan sepanjang semusim setengah beraksi buat skuad Harimau Selatan.

KESUKARAN mendapatkan minit permainan regular menyaksikan pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Endrick dos Santos meninggalkan pasukan itu pada jendela perpindahan baru-baru ini.

Dia memilih untuk menyertai kelab Vietnam, Ho Chi Minh City FC dengan status pinjaman yang turut menyaksikannya menjadi pemain Harimau Malaya pertama beraksi di negara berkenaan.

Impak segera dapat ditampilkan pemain naturalisasi berkenaan apabila pengalamannya dalam arena bola sepak negara mudah diaplikasikan memasuki bulan kedua di sana.

BACA LAGI: 'Masa yang sesuai', Endrick dedah sebab tak kisah kena 'loan' ke Vietnam

BACA LAGI: Endrick dos Santos sifatkan Liga Super lagi ‘kacang’ berbanding V-League

WhatsApp Image 2024-09-23 at 10.45.12 AM

Endrick kelihatan cukup berpuas hati dengan jaringan yang dihasilkan itu. Instagram/Etminan Brazil

Walaupun dia baru sahaja diturunkan secara kompetetif sebanyak dua kali setakat ini, kebolehan dipamerkan dalam aksi pramusim membawa petanda bahawa dia akan mudah menyesuaikan diri.

Prestasi memberangsangkan itu diteruskan pada Ahad selepas Endrick membuka akaun jaringan buat Ho Chi Minh City FC dalam perlawanan berdepan Binh Dinh.

Jaringan itu dikongsikan ejen kepada pemain berkenaan, Etminan Brazil memaparkan Endrick mencetak gol menerusi penyudah berkualiti menggunakan kaki kiri.

"Tahniah atas pencapaian mencatatkan gol pertama dan membantu pasukan ini untuk mencetak kemenangan. Teruskan berusaha dan berikan yang terbaik dalam aksi-aksi selepas ini," tulisnya di Instagram.

Sumbangan tersebut cukup penting kerana ia membolehkan pasukannya melakukan kebangkitan semula setelah ketinggalan dengan satu gol pada separuh masa pertama.

Endrick juga kelihatan amat berpuas hati dengan jaringan berkenaan apabila hampir kesemua daripada rakan sepasukannya meraikan jaringan tersebut.

Gol itu membolehkan Ho Chi Minh City FC mencatatkan kemenangan pertama dalam V-League 1 selepas dua permainan dengan ia meletakkan mereka di kedudukan kelima hasil kutipan empat mata.

Selepas ini, pasukan kendalian Phung Thanh Phuong itu akan berdepan Hanoi FC dengan misi tiga mata penuh pasti diletakkan kedua-dua kelab ternama di Vietnam itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram