ARENA bola sepak Liga 1 Indonesia dicemari dengan insiden hitam susulan rusuhan penyokong di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung, Indonesia pada Isnin.
Persib Bandung yang dikendalikan oleh bekas jurulatih Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak berjaya meraih kemenangan 2-0 ke atas Persija Jakarta menerusi jaringan Dimas Drajad dan Ryan Kurnia yang masing-masing mencetak satu gol dalam aksi tersebut.
Difahamkan, kekecohan itu tercetus sebaik sahaja pengadil dari Malaysia, Nazmi Nasaruddin meniup wisel tamat perlawanan.
BACA LAGI: [VIDEO] Ledak gol jumpa Penang FC, Avanzini kongsi terima 'azimat' Bojan Hodak
BACA LAGI: Bukan salah Sikh Izhan, sikap sambil lewa Harimau Kumbang punca Penang rugi di laman sendiri
Dalam aksi tersebut, Nazmi melayangkan dua kad merah kepada dua pemain bagi kedua-dua pasukan iaitu Marc Klok dan bek kiri Persija, Firza Andika selepas mengutip kad kuning kedua pada minit ke-28.
Tidak dapat menerima kekalahan di laman lawan itu, penyokong pelawat bertindak menceroboh padang dan menyerang steward atau petugas keselamatan termasuk membaling kerusi.
Menerusi video yang tular di media sosial itu, kelihatan beberapa lelaki menjadi mangsa pukul di tepi padang.
Rusuhan tersebut berlarutan kira-kira lima hingga 10 minit sebelum berjaya dikawal oleh pasukan keselamatan termasuk pihak polis.
Susulan kejadian itu, Persib dalam satu kenyataan mengecam sekeras-kerasnya tindakan individu yang tidak bertanggungjawab dan memohon maaf kepada semua pihak yang terpalit dengan insiden tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram