PEMAIN import baharu Negeri Sembilan FC (NSFC), Sebastian Avanzini memastikan debut pertama untuk pasukan itu menjadi bermakna apabila dia berjaya menjaringkan gol pertama.
Dengan gol yang dijaringkan itu berjaya membantu NSFC untuk mengikat Penang FC 2-2 sekali gus meraih satu mata dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Ahad.
Avanzini yang terakhir kali bermain bola sepak kompetitif pada Disember lalu itu pastinya mengharapkan agar dia dapat mengasah kembali ketajamannya di hadapan pintu gawang.
BACA LAGI: Bukan salah Sikh Izhan, sikap sambil lewa Harimau Kumbang punca Penang rugi di laman sendiri
BACA LAGI: Siap jumpa TMJ, tetamu VIP saksikan JDT pesta gol benam Kelantan
Avanzini mencetak gol kedua buat skuad Jang sekali gus mengikat Penang FC 2-2.
Meskipun hampir 10 bulan tidak beraksi di atas padang namun Avanzini berjaya membuktikan prestasi terbaiknya kepada skuad Jang.
Avanzini, yang bermain 32 perlawanan dalam semua perlawanan untuk Kuala Lumpur City FC musim lalu itu mengakui walaupun dia berasa sedikit gementar selepas tidak beraksi hampir 10 bulan namun dia yakin dengan kemampuannya dan tahap kecergasannya.
“Memang ada sedikit kekurangan, seperti yang dijangkakan selepas lama tidak bermain. Tetapi paling penting, kami mendapat keputusan yang baik. Saya rasa saya bermain dengan baik.
“Saya dalam keadaan cergas dan baik walaupun sudah hampir setahun saya tidak berada di Malaysia.
“Mengenai gol itu, saya sebenarnya pun tak menyangka dapat menjaringkan gol. Saya yakin ramai yang berfikir ia bukan idea yang baik, malah jurulatih K. Nanthakumar juga terkejut," kata Avanzini, yang baru sahaja menyertai skuad Jang pada 20 September.
Bukan itu sahaja, dia juga berkongsikan bahawa bekas jurulatihnya ketika bersama Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak turut terkejut dengan jaringan tersebut.
"Saya juga menerima mesej daripada bekas jurulatih saya, Bojan Hodak, yang memberitahu jaringan itu menakjubkan.
"Malah, katanya, saya tidak pernah lakukan gol sebegitu semasa bermain untuk The City Boys," cerita Avanzini.
Avanzini berkata, dia memilih untuk kembali ke Malaysia kerana melihat NSFC sebagai pasukan yang berpotensi untuk berkembang, dengan sasaran berada di kedudukan terbaik musim ini.
Melihat kepada carta liga musim ini, NSFC kini berada di kedudukan ke-12 dengan meraih lima mata selepas 10 perlawanan.
Dalam pada itu, Avanzini berharap agar kehadirannya ke pasukan itu akan mampu mengubah kedudukan semasa menjadi lebih baik.
"NSFC ramai pemain muda jadi saya harap pengalaman saya dengan The City Boys dapat membantu mereka untuk sama-sama meningkatkan prestasi," kongsinya. — The Star/T.AVINESHWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram