PENGADIL tempatan, Nazmi Nasaruddin mencuri tumpuan sekali lagi apabila namanya terus mekar sebagai antara pegawai perlawanan terbaik dihasilkan Malaysia.
Pengadil berasal dari Pulau Pinang itu baru-baru ini menjadi pegawai perlawanan di Indonesia dengan Nazmi mengadili aksi Liga 1 antara Malut United menentang Bali United pada Ahad.
Dalam aksi yang dimenangi oleh Bali dengan keputusan 4-1 turut menyaksikan Nazmi melayangkan kad merah kepada pemain Malut, Tatsuro Nagamatsu pada penghujung perlawanan.
BACA LAGI: Jangan berlagak, ulang kaji antara pesanan Subkhiddin buat Nazmi julang nama Malaysia di Piala Dunia
BACA LAGI: 'Satu Malaysia pandang pengadil', fans ‘warning’ Nazmi Nasaruddin jangan buat kesilapan mudah
Penyertaan Nazmi sebagai pengadil di Liga 1 menjadikannya pegawai perlawanan asing kedua yang digunakan oleh liga tersebut.
Sebelum ini, pengadil Jordan, Adham Tumah merupakan pegawai perlawanan pertama ditugaskan mengadili aksi domestik Indonesia.
Melihat keberadaan Nazmi, ia menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong bola sepak Indonesia, mana pengadil mereka?
Terdapat penyokong yang mempertikai tindakan membawa pengadil luar kerana ia membuatkan pegawai perlawanan Indonesia tidak mampu pergi jauh seperti mana Nazmi sekarang.
"Ke mana pengadil Indonesia? Untuk Liga 1 saja mesti guna pengadil luar, bagaimana pengadil Indonesia boleh maju sehingga ke tahap Asia dan dunia?," soal penyokong bernama Hendi Suhendi.
"Sangat rendah kualiti pengadil Indonesia, sampai pengadil daripada Malaysia yang dipilih, bukan dari Jepun, Arab Saudi atau Iran. Sangat muak melihat kenyataan ini," ujar Charhijat yang seolah sakit hati.
"Saya malu dengan bangsa ini (Indonesia) yang masih gunakan pengadil asing. Indonesia itu mempunyai pengadil yang berkualiti dan terbaik," komen Muchorozi Yusfareza.
Namun begitu, ada juga yang memuji keberadaan Nazmi yang dilihat mampu memberikan pengajaran kepada pengadil Indonesia supaya meningatkan kualiti mereka.
Malah ada yang mahukan Nazmi mengadili perlawanan panas di Indonesia seperti Persija Jakarta menentang Persib Bandung.
"Mantap. Peningkatan kualiti bola sepak Indonesia, biar pengadil Indonesia tahu macam mana kerja pengadil itu dilakukan," kata Indra Satyya.
"Sesuai dan setuju, ajar pengadil tempatan Indonesia untuk bertindak jujur dan tegas," ujar Alamsyah Pohan.
"Seharusnya dijadikan pengadil bagi perlawanan Persib lawan Persija," komen Abun Sheeva. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram