[VIDEO] ‘Tak ada cerita lain ke?', Arif Aiman bosan prestasi bersama HM tak sebagus JDT undang kritikan


  • Podium
  • Isnin, 23 Sep 2024

Arif Aiman menggegar gawang Kelantan Darul Naim dengan dua gol.

PRESTASI pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman semakin menunjukkan peningkatan selepas dia mula mendapat rentak.

Sebelum ini, pemain tersebut berdepan permulaan hambar baik bersama kelab dan juga skuad kebangsaan.

Akan tetapi, persembahannya semakin meningkat bermula daripada perlawanan akhir Piala FA sehingga sekarang. Malah, sewaktu berdepan Kelantan Darul Naim FC pada Ahad, dia menjaringkan dua gol.

BACA LAGI: 'Shanghai Port dijajah oleh Arif Aiman', kecemerlangan bintang JDT raih perhatian Asia

BACA LAGI: Pengganti Foriesteri tunjuk taring sumbat 2 gol, Arif Aiman tolak badi peroleh jaringan pertama liga

Di saat prestasinya bersama kelab semakin pulih, timbul persoalan, kenapa perkara sama tidak dapat dilakukan ketika dengan Harimau Malaya?

Perkara tersebut menjadi persoalan pemerhati bola sepak tempatan, Keeshaanan Sundaresan dengan dia bertanyakan kepada bekas pemain kebangsaan iaitu Safee Sali dan S. Subramaniam.

"Dia dikelilingi oleh pemain yang mempunyai fizikal bagus, saya rasa mereka berada di tahap lain, semua pernah bermain di Eropah, Sepanyol. Bagi saya, untuk skuad kebangsaan, kita perlu tingkatkan tahap permainan, tahap pemain untuk dapatkan kualiti (Arif Aiman) yang sama di skuad kebangsaan," kata Safee.

"Ia juga didorong dengan intensiti latihan kelab mereka, berapa pasukan yang berlatih dalam intensiti yang tinggi. Mungkin pasukan seperti JDT, Selangor dan Terengganu yang cuma berlatih pada tahap tertinggi," kata Subramaniam.

Situasi dialami oleh Arif itu kemudiannya disamakan dengan masalah dihadapi oleh pemain England, Phil Foden serta bintang Brazil, Vinicius Jr yang gagal membawa prestasi baik di kelab bersama skuad kebangsaan.

Akan tetapi, perbincangan tersebut mendapat reaksi kurang senang oleh tuan punya badan. Bagi Arif, perkara tersebut tidak sepatutnya menjadi perbualan lagi kerana ia sudah lama berlalu.

"Sudah-sudahlah, perlawanan dah lepas tak payah nak cakap atau buat tagline (Mr. MVP) macam itu.

"Tolong hormat sikitlah, dah tak ada cerita lain nak buat ke?," pertikai Arif. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram