PERMULAAN sumbang oleh wakil Malaysia iaitu Terengganu FC apabila mereka berdepan kesukaran bertemu kelab Kemboja, Svay Rieng dalam aksi pertama peringkat kumpulan Piala Shopee pada Rabu.
Beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu bermula garang apabila melancarkan serangan daripada minit awal.
Namun begitu, teraju serangan yang diketuai Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Ismaheel Akinade gagal mendapatkan gol.
BACA LAGI: Pertembungan 'reunion' ex import, Svay Rieng bawa rekod cemerlang jumpa Terengganu
BACA LAGI: Fans Kedah, Penang dan Terengganu ada sebab berasa kecewa dengan keputusan Abu Kamara
Sebaliknya, mereka dikejutkan dengan gol pembukaan Svay Rieng pada minit ke-12 oleh Gabriel Silva selepas menerima umpanan cantik Cristian Roque.
Walaupun sekali sekala menyerang, tetapi Svay Rieng lebih tajam di depan gol apabila mereka berjaya menambah jaringan tidak lama kemudian menerusi Pablo Augusto.
Augusto mengambil kesempatan oleh bola muntah tepisan Suhaimi Husin untuk meletakkan Svay Rieng 2-0 di depan selepas 15 minit.
Separuh masa kedua menyaksikan Terengganu terus meningkatkan serangan namun begitu ketumpulan penyudah menjadi masalah buat skuad Tomislav Steinbruckner.
Sinar itu mula nampak apabila Manny Ott mengurangkan defisit untuk pada awal separuh masa kedua selepas menyempurnakan hantaran Ubaidullah Shamsul.
Malah, pemain seperti Akhyar dan Akinade turut dikeluarkan kerana impak yang cukup sedikit diberikan mereka.
Harapan Terengganu mendapatkan gol penyamaan musnah apabila Svay Rieng berjaya memperoleh gol ketiga menerusi jaringan Min Ratanak pada minit ke-85.
Akan tetapi, sinar harapan muncul apabila Terengganu mendapatkan sepakan penalti pada minit ke-90. Safawi dengan tenang menjaringkan gol dari jarak 12 meter.
Terengganu berpeluang untuk menyamakan kedudukan pada masa kecederaan apabila sepakan Engku Shakir terkena tangan pertahanan Svay Rieng dalam kotak penalti.
Pengadil memberikan sepakan penalti dengan ia mendapat bantahan keras daripada pasukan pelawat.
Saat Safawi sudah bersedia untuk menyamakan kedudukan, pengadil melakukan on-field review pada sistem Video Bantuan Pengadil (VAR).
Hasil semakan itu menafikan sepakan penalti untuk Terengganu dan mereka terlepas peluang untuk menyamakan kedudukan sekali gus skuad Penyu kalah 2-3 di laman sendiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram