JUARA Liga Perdana Kemboja 2023/24, Preah Khan Reach Svay Rieng FC membawa rekod cemerlang sebelum bertemu finalis Piala Malaysia 2023, Terengganu FC dalam kejohanan Shopee Cup 2024/2025 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Rabu (21 Ogos).
Svay Rieng tidak tewas dalam saingan Liga Kemboja yang baru membuka tirai musim baharu selepas mengharungi dua perlawanan sejak 11 Ogos lalu.
Skuad kendalian Pep Munoz akan memberikan cabaran sengit buat Terengganu selepas mereka memiliki dua pemain import yang sedang menghuni carta penjaring terbanyak Liga Kemboja.
BACA LAGI: [VIDEO] Hanya rekod 3 gol sepanjang karier, peledak Brazil belum tentu boleh saingi Ramon Machado
BACA LAGI: Kepulangan Moses Atede, Liridon antara 3 calon 'ideal jimat' ganti Habib Haroon di Kedah
Berdasarkan prestasi semasa, juara Liga Kemboja itu dilihat berada pada momentum terbaik selepas membelasah National Defence 7-0 dan Dangkor FC 4-1 pada Jumaat lalu.
Rekod 11 jaringan dan satu bolos perlu diberi perhatian sepenuhnya oleh anak-anak buah Tomislav Steinbruckner khususnya di benteng pertahanan menjelang aksi sepak mula tepat pukul 9 malam Rabu.
Terengganu kini menduduki tangga ketiga Liga Super dengan 15 mata selepas meraih empat kemenangan, tiga seri dan satu kekalahan dalam lapan perlawanan.
Selain itu, bekas pemain import Terengganu, Thierry Chantha Bin turut akan kembali ke bumi Darul Iman selepas pernah mewakili pasukan itu pada musim 2017 hingga 2019 sebelum menyertai kelab Thailand.
Bersama Sang Penyu, Chantha Bin tampil dalam 26 perlawanan dan menjaringkan satu gol serta assist sepanjang mewakili pasukan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram