DUA musim lalu, Kedah Darul Aman (KDA) FC mengambil keputusan membawa masuk penyerang bertubuh sasa, Ronald Ngah Wanja untuk mengetuai barisan serangan pasukan.
Mereka yang ketika itu beraksi dalam kempen Piala AFC boleh dikatakan melakukan satu percaturan berbaloi kerana pemain itu membawa pulangan cukup berbaloi.
Dalam 28 penampilan direkodkannya dalam semua kejohanan, dia mencatatkan 15 jaringan serta lima bantuan gol, sekali gus menjadikannya salah seorang import terbaik beberapa musim kebelakangan ini.
BACA LAGI: Akui Kedah kuat, PDRM ada cara 'gari' Sang Kenari
Ngah Wanja sudah merekodkan 11 gol setakat 19 perlawanan ditempuhi Al-Faisaly. — Instagram/Jordan Pro League
Bagaimanapun, kelab Utara tanah air tersebut mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontraknya memandangkan mereka sudah melepaskan khidmat ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak.
Jadi, untuk kembali beraksi, Ngah Wanja atau juga dikenali sebagai Pak Ngah memilih dan menyertai kelab Qatar, Al-Khor SC sebelum sekali lagi berhijrah ke Arab Saudi untuk beraksi dengan Hajer Club.
Namun, kesemua perpindahan itu tidak membawa hasil seperti mana diharapkan pemain berusia 32 tahun berkenaan dengan hanya beberapa gol sempat dicatatkannya.
Tetapi, langkah demi langkah yang diambil akhirnya menyaksikan pulangan lebih berbaloi sejak dia menyertai sebuah kelab bertapak di Jordan, Al-Faisaly.
Al-Mardi merupakan seorang lagi bekas pemain Sang Kenari yang berada dalam senarai itu. — Facebook/KDA FC
Ini kerana baru-baru ini, penyerang tersebut berada dalam senarai penjaring terbanyak Liga Pro Jordan selepas menempuhi 19 perlawanan setakat ini.
Berdasarkan kemas kini dimuat naik di laman Instagram rasmi mereka, Ngah Wanja sudah menjaringkan 11 gol yang membantu pemain itu berada di tangga teratas.
Lebih menarik lagi, seorang lagi bekas tonggak KDA FC, Mahmoud al-Mardi turut berada dalam senarai berkenaan dengan sembilan gol berjaya dicetaknya.
Sekiranya diteruskan, Ngah Wanja sudah tentu dapat membawa pulang Anugerah Kasut Emas, lebih-lebih lagi dengan hanya tiga lagi perlawanan berbaki.
Pulangan berkenaan sudah tentu membuatkan rata-rata penyokong Hijau Kuning sedikit cemburu akan kebolehannya meneruskan kecemerlangan di tempat baharu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram