Bukan setakat EPL, Man City bakal 'lenyap' dari semua kejohanan


  • Podium
  • Jumaat, 20 Sep 2024

Manchester City berpotensi disingkirkan daripada semua kejohanan disertai mereka.

JUARA England, Manchester City berdepan kemungkinan untuk disingkirkan daripada semua kejohanan yang disertai mereka musim ini.

Semua ini berpunca akibat dakwaan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang kelab itu melanggar 115 dan 130 kesalahan.

Laporan di England menyebut, City berdepan hukuman pemotongan mata serta penyingkiran daripada EPL sekiranya didapati bersalah melanggar peraturan ditetapkan.

BACA LAGI: Man City boleh jatuh liga jika bersalah, kes salah laku 115 sudah bermula

BACA LAGI: Manchester City kena denda lebih RM7 juta kerana lambatkan perlawanan

8a45521e-cda8-4d99-9644-6309e6277900

Jika City disingkirkan daripada EPL, pasti disambut baik oleh pesaing-pesaing mereka.

EPL berpendapat hukuman pemotongan mata itu tidak cukup untuk menghukum kesalahan besar dilakukan City. Oleh itu, hukuman menyingkirkan mereka daripada liga boleh dijadikan sebagai pilihan.

Jika disingkirkan, City boleh dihumban sehingga ke Liga Nasional (National League) yang merupakan liga divisyen lima dalam piramid bola sepak England.

Sekiranya City disingkirkan daripada EPL, ia berpotensi memberikan kesan domino (domino effect) buat kelab itu dengan mereka boleh dikeluarkan daripada Piala FA Inggeris dan Piala Carabao.

Hal ini kerana, klausa 31 dalam peraturan Piala FA Inggeris menetapkan, "Apabila sesebuah kelab yang menyertai pertandingan dan kemudiannya dikeluarkan daripada liga mereka bertanding, mereka boleh dikeluarkan daripada Piala FA Inggeris."

Sementara untuk Piala Carabao, penganjurnya iaitu Liga Bola Sepak Inggeris (EFL) boleh menyingkirkan City kerana untuk bertanding dalam pertandingan itu, satu-satu kelab mestilah berada dalam empat divisyen teratas bola sepak England.

City juga boleh disingkirkan daripada dua kejohanan luar England disertai mereka iaitu Liga Juara-Juara UEFA (UCL) dan Piala Dunia Kelab FIFA.

Di UCL, UEFA boleh menyingkirkan City kerana untuk bertanding di pertandingan itu, satu-satu kelab mesti mendapatkan perlesenan daripada badan induk bola sepak Eropah tersebut.

Sementara bagi Piala Dunia Kelab FIFA, tiada sebarang peraturan jelas mengenai situasi City itu dan ia meletakkan keraguan terhadap kedudukan mereka dalam pertandingan tersebut.

Perbicaraan kes melibatkan City akan bermula pada Isnin, 23 September 2024. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram