Pengganti Foriesteri tunjuk taring sumbat 2 gol, Arif Aiman tolak badi peroleh jaringan pertama liga


  • Podium
  • Khamis, 12 Sep 2024

Jorge (empat dari kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan dalam aksi pada Khamis. — Johor Southern Tigers

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) mudah menundukkan Penang FC 5-0 dalam aksi Liga Super yang berlangsung Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Khamis.

Gol pertama skuad Harimau Selatan hadir seawal minit kedua menerusi rembatan deras dari dalam kotak penalti oleh Oscar Arribas.

Dibantu dengan kehadiran import baharu yang ditandangani, JDT kemudiannya terus melancarkan asakan bertali arus ke kubu pasukan Pulau Mutiara namun mereka dinafikan oleh ketangkasan penjaga gol pelawak, Sikh Izhan Nazrel.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Bagaimanapun, gawang Penang FC akhirnya bocor pada minit ke-40 menerusi jaringan import baharu JDT, yang membuat penampilan pertamanya Jorge Obregon.

Jorge dibawa masuk pada jendela perpindahan kedua musim ini bagi menggantikan bekas tonggak penjaring pasukan, Fernando Forestieri.

Pemain import dari Colombia itu hampir menambah derita Penang FC dia membantu JDT mendapat penalti selepas kekasaran terhadapnya di dalam kotak penalti dikesan oleh video bantuan pengadil (VAR).

459161007_1091648808997761_9091143368348606035_n

Jorge (kiri) dibawa masuk pada jendela perpindahan kedua musim ini bagi menggantikan bekas tonggak penjaring pasukan, Fernando Forestieri. — Johor Southern Tigers

Bagaimanapun, pemain sensasi skuad Harimau Selatan, Arif Aiman Hanapi gagal untuk menyempurnakan sepakan penalti tersebut selepas bola yang dirembatnya jauh meninggi ke atas bahagian kanan gawang.

Perlawanan separuh masa pertama berakhir dengan kedudukan JDT 2-0 Penang FC.

Memasuki separuh masa kedua, Jorge tidak menunggu masa yang lama untuk melebarkan pendahuluan apabila berjaya memanfaatkan peluang terhidang di hadapan pintu gol pelawat bagi merembat masuk gol ketiga pasukan pada minit ke-48.

Pemain gantian, Bergson Da Silva terus menambah derita Penang FC apabila dia menyempurnakan sepakan penalti yang diperolehi pada minit ke-64.

Sebelum itu, VAR mengesan kekasaran yang dilakukan terhadap Bergson sekali gus menghadiahkan JDT penalti kedua dalam aksi tersebut.

Di akhir babak permainan, Skuad Harimau Selatan sekali lagi mendapat penalti selepas VAR mengesan kekasaran dilakukan terhadap Syahmi Safari di tepi kotak penalti.

Bangkit daripada kesilapan pada separuh masa pertama, Arif Aiman berjaya menyempurnakan sepakan penalti ketiga diperolehi pasukannya pada minit ke-4 masa tambahan di penghujung perlawanan.

Jaringan itu sekali gus menamatkan kemarau jaringan tonggak JDT tersebut selepas mengharungi lapan perlawanan Liga Super tanpa sebarang gol.

Kemenangan 5-0 ke atas Penang FC membolehkan JDT terus berada di puncak Liga Super dengan 25 mata selepas sembilan perlawanan manakala Penang FC pula di kedudukan ketujuh dengan 11 mata.

JDT seterusnya akan memulakan saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) berdepan Shanghai Port FC pada aksi pertama ACLE di Stadium Bola Sepak Pudong, China pada 18 September ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram