'KBS ada beri RM48,000', MTA harap ragbi sentuh jadi sukan teras di Malaysia


  • Podium
  • Isnin, 16 Sep 2024

Skuad ragbi sentuh yang mewakili Malaysia ke kejohanan Piala Dunia Ragbi Sentuh di England pada Julai lalu.

ADAKAH anda tahu Malaysia mempunyai wakil ragbi sentuh di Piala Dunia pada tahun ini?

Pasukan kebangsaan ragbi sentuh itu yang menyertai kategori umur atas 40 Tahun mendapat tempat ketiga dalam kejohanan yang diadakan di England pada Julai lalu.

Namun begitu ada dakwaan yang menyatakan skuad ragbi sentuh negara itu tidak mendapat sebarang bantuan daripada pihak kerajaan sebelum berlepas ke kejohanan itu.

BACA LAGI: Ragbi sentuh lebih selamat, beri persediaan buat pemain cilik masuk fasa lasak

BACA LAGI: Beraksi di Piala Dunia, Saho desak KBS, MSN bantu promosi ragbi sentuh seperti futsal

Mengulas lanjut mengenai bantuan dana daripada kerajaan, Timbalan Presiden Persatuan Ragbi Sentuh Malaysia (MTA), Farid Basir berkata, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ada memberikan sumbangan sebanyak RM48,000 dan ada membuat lawatan.

"Sebenarnya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah memberikan sokongan kepada kami. YB Menteri Hannah Yeoh melawat kami dua kali—sekali semasa sesi latihan dan sekali lagi semasa majlis pelepasan pasukan. Beliau juga mengumumkan sumbangan RM48,000 kepada pasukan, yang memberikan RM1,000 bagi setiap pemain. Ini sedikit sebanyak meringankan beban kewangan kami dan menunjukkan sokongan kerajaan terhadap sukan ini.

"Walaupun begitu, pemain, keluarga, dan rakan-rakan kami tetap menjadi sumber sokongan terbesar. Banyak pengorbanan telah dilakukan, dari segi kewangan dan masa, oleh setiap pemain dan keluarga mereka. Saya percaya, di masa hadapan, KBS akan terus menyokong perkembangan Sukan Sentuh di Malaysia dengan lebih signifikan. Dengan sokongan yang lebih kukuh, kita boleh membawa sukan ini ke tahap yang lebih tinggi.

"Kami juga mencari sumber latihan, sama ada daripada rakan kongsi seperti International School of Kuala Lumpur atau daripada sokongan individu dan syarikat yang memahami pentingnya pembangunan sukan ini. Namun, kesusahan ini menjadikan kami lebih bersemangat dan bersatu sebagai satu pasukan," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2024-09-14 at 11.06.44 PM(1)

Antara pemain-pemain yang mewakili negara untuk kejohanan Piala Dunia Ragbi Sentuh di England, Julai lalu.

Tambahnya lagi, bajet untuk membentuk pasukan ke kejohanan Piala Dunia boleh mencecah RM200,000 untuk satu pasukan.

"Bajet untuk membentuk pasukan bagi kejohanan besar seperti Piala Dunia Ragbi Sentuh memerlukan anggaran sekitar RM150,000 hingga RM200,000 satu pasukan.

"Kami menghantar tiga pasukan, ini termasuk kos latihan, peralatan, penginapan, tiket penerbangan, dan lain-lain kos logistik," jelasnya.

Farid juga sempat berkongsi pengalamannya di Piala Dunia Sentuh sambil berkongsi rahsia kejayaan skuad negara di kejohanan itu.

"Pengalaman mewakili Malaysia dalam Piala Dunia Sukan Sentuh di Nottingham, England baru-baru ini merupakan satu penghormatan dan pencapaian yang sangat bermakna.

"Ini adalah kali ketiga Malaysia menyertai kejohanan ini, dan bagi saya serta pasukan, ia merupakan pengalaman yang sangat mencabar tetapi penuh dengan kebanggaan.

"Kami dapat berentap dengan pasukan-pasukan terbaik dunia dan melihat sejauh mana kami boleh bersaing di peringkat antarabangsa.

"Lebih membanggakan apabila pasukan Men’s 40 berjaya mara ke suku akhir dan mencatat keputusan yang terbaik dalam sejarah penyertaan Malaysia.

"Rahsia di sebalik keputusan cemerlang ini adalah dedikasi dan komitmen yang tidak berbelah bahagi daripada setiap pemain, jurulatih, dan pengurusan pasukan.

"Walaupun kami tidak mendapat bantuan kewangan penuh, setiap pemain memainkan peranan besar dengan membiayai sendiri perbelanjaan dan memberikan 100 peratus usaha dalam latihan," jelasnya.

Jelasnya lagi, dia berharap dapat melihat ragbi sentuh menjadi sukan teras di dalam negara suatu hari nanti dengan pelan yang sudah dirangka MTA.

"Harapan saya adalah untuk melihat ragbi sentuh terus berkembang dan menjadi salah satu sukan utama di Malaysia.

"Saya percaya kita mempunyai bakat dan potensi untuk bersaing di peringkat dunia, seperti yang telah kita buktikan dalam Piala Dunia kali ini.

"Saya juga berharap lebih banyak sokongan daripada kerajaan dan pihak swasta dalam memastikan pembangunan sukan ini terus maju.

"Kami juga bercadang untuk memulakan lebih banyak program pembangunan akar umbi, termasuk menganjurkan kejohanan di peringkat sekolah melalui Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) dan kerjasama dengan kelab-kelab tempatan.

"Selain itu, kami berharap untuk melihat ragbi sentuh dimasukkan dalam acara Sukan Malaysia (SUKMA) sebagai langkah untuk meningkatkan penyertaan dan pendedahan sukan ini.

"Pembangunan pemain muda dan jurulatih juga akan menjadi keutamaan supaya kita dapat membina pasukan yang lebih kuat di masa hadapan," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Ragbi, MTA, Ragbi Sentuh, Hannah Yeoh, Farid Basir, KBS