[VIDEO] Insiden baling botol SUKMA disiasat bawah Seksyen 506 KK — Polis Sarawak


  • 112
  • Khamis, 22 Ogos 2024

Polis membuka satu kertas siasatan berkaitan insiden membaling objek dipercayai botol air ke dalam gelanggang saingan acara silat SUKMA 2024 di Stadium Bandaraya Miri, Sarawak pada Rabu.

POLIS membuka satu kertas siasatan berkaitan insiden membaling objek dipercayai botol air ke dalam gelanggang saingan acara silat Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Stadium Bandaraya Miri, Sarawak pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.

"Polis telah menerima satu laporan daripada pihak jawatankuasa terlibat dengan penganjuran SUKMA berkaitan kejadian itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Gara-gara tak puas hati dengan juri, gelanggang silat SUKMA kecoh dibaling botol

BACA LAGI: [VIDEO] Polis siasat perbualan 4 remaja mengenai dadah, siap tayang 'dapur' dan plastik lut sinar

"Siasatan lanjut akan dijalankan termasuk terhadap rakaman video yang tular membabitkan insiden itu semalam,” katanya pada Khamis.

Beliau berkata, pihaknya pada masa sama akan meningkatkan keanggotaan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Terdahulu, sejumlah anggota polis melakukan kawalan di gelanggang sukan silat yang berlangsung tanpa kehadiran penonton.

Acara Putri Kelas 45 kilogram ke bawah antara pesilat Sarawak, Iman Syakilla Mahdi dan pesilat Wilayah Persekutuan, Nurin Alyaa Damia Mohd Masran petang Rabu dicemari insiden membaling objek dipercayai botol air ke dalam gelanggang.

Insiden itu difahamkan bersangkut paut dengan sistem pemarkahan dipapar pada skrin sekali gus menimbulkan ketidakpuasan hati penonton.

Video kejadian itu juga turut tular di laman media sosial pada hari yang sama sehingga mengundang kecaman daripada pelbagai pihak. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram