Ambil iktibar STL musim 2024, Sabah Mountaineer enggan buat persiapan 'last minute'


  • Podium
  • Ahad, 15 Sep 2024

Sebahagian aksi menarik yang ditampilkan tekong Sabah Mountaineers, Khathadet Srichan ketika berdepan Penjara Enforces. — Facebook/STL

SABAH Mountaineers terpaksa akur selepas dikecewakan oleh Selangor Pistons 1-2 dalam aksi suku akhir Divisyen 1 Liga Sepak Takraw (STL) Emas Anuar 2024.

Meskipun Sabah Mountaineers berjaya bangkit untuk mengheret permainan ke set penentuan namun Selangor Pistons berjaya menoktahkan kemenangan dalam set ketiga.

Dalam pada itu, mengimbau kembali kekalahan di tangan Selangor Pistons, pengurus pasukan Sabah Mountaineers, Suhaimi bin Abdullah @ Voo Hon Man mengakui pasukan Lembah Klang itu memiliki kekuatan tersendiri.

BACA LAGI: [VIDEO] Perak Bison 'mengaum', 2 senjata rahsia sedia gempur ATM Guardians

BACA LAGI: Diundi dalam kumpulan maut, Selangor Pistons optimis muncul semifinalis Liga Premier STL

6280730457800817268

Sabah Mountaineers tewas 1-2 di tangan Selangor Pistons sekali gus gagal layak ke Liga Premier.

"Untuk perlawanan Divisyen 1 yang lepas, kita memang mengelak untuk jumpa dengan Selangor lebih awal sebab mereka ada beberapa pemain kebangsaan, ditambah pula dengan import Thailand.

"Tapi bila undian suku akhir dibuat, kena undi pula jumpa dengan Selangor, jadi mahu tak mahu kena lawan juga tapi kita berjayalah heret perlawanan ke rubber set," katanya kepada Majoriti.

Ditanya mengenai keberkesanan sistem 15 mata terhadap perlawanan sebelum ini, Suhaimi yang juga merupakan warga pendidik berkongsikan bahawa sistem berkenaan mengajar semua pasukan untuk terus sentiasa fokus dan jangan leka.

"Secara keseluruhan, 15 mata ni memang bahaya, tidak boleh ada mistake terutamanya, pemain kena terus 'panas' dan terus perform.

"Kalau awal buat mistake, agak sukarlah nak kejar balik mata, susah nak recover balik. Kalau kiraan 21 mata, ada peluang untuk kejar mata tapi 15 mata ni memang susahlah," ujarnya lagi.

Mengulas lanjut mengenai kelemahan utama pasukan Negeri di Bawah Bayu itu, Suhaimi mendedahkan bahawa pertukaran pemain pada suku akhir itu menjadi faktor utama mereka gagal untuk beraksi dengan lebih baik.

6280730457800817267

Barisan pemain Sabah Mountaineers. — Facebook/STL

Menurutnya, pasukan itu ingin memberi peluang kepada beberapa pemain yang belum pernah beraksi di peringkat kumpulan agar diturunkan namun percaturan tersebut akhirnya memakan diri apabila para pemain gagal untuk mencipta keserasian.

"Kalau tengok perlawanan sebelum ini, kelemahan yang boleh dinampak ialah pertukaran pemain kerana masa tu kita memberi peluang kepada beberapa pemain yang belum beraksi untuk menunjukkan kemahiran mereka tapi kita tetap standby in case ada yang tidak perform, kita akan terus tukar.

"Tapi, bila kita sudah ketinggalan poin, kita cuba sedaya upaya untuk tukar pemain dan bila masuk pemain utama, corak permainan sudah berbeza, bila sudah ketinggalan, jadi sukar untuk kita kembali seimbangkan permainan.

"Kalau dari segi pemilihan pemain tu okey juga cuma pemain-pemain pada masa tu, dia macam lambat panas. Sebab kiraan 15 ini, dia perlu terus panas. Dia tidak boleh lambat sebab game tu sangat laju. Game ni sangat cepat. Siapa tidak perform, dia akan ketinggalan terus. Siapa perform bagus, dia menang tapi siapa yang buat mistake, dia akan kalah," katanya.

Begitupun, Suhaimi turut mendedahkan bahawa pasukannya itu sebenarnya berdepan dengan kekangan masa sebelum perlawanan Divisyen 1 bermula.

Menurutnya, tiadanya persiapan rapi dalam menghadapi kejohanan itu antara kelemahan utama pasukan tersebut.

"Kelemahan utama yang saya nampak dari segi persediaanlah. Kita cuma ada kurang daripada seminggu untuk membuat persediaan. Kita sibuk dan cuma beri fokus dengan Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak XXI 2024 sahaja.

"Jurulatih pun penat masa tu sebab balik saja dari Sarawak, mereka terus terbang ke Kuala Lumpur untuk persediaan STL.

"Bukan itu saja, salah seorang pemain kita pun memang pemain SUKMA. Kemudian ada dua pemain kita yang lokal pun, mereka cuma sempat berlatih dalam masa seminggu saja macam Jaxon Amputong" katanya.

Malah, keserasian antara pemain menjadi faktor kedua Sabah Mountaineers gagal melayakkan diri ke peringkat seterusnya.

6280730457800817269

Barisan pemain Sabah Mountaineers yang terpaksa berputih mata apabila gagal layak ke Liga Premier.

Begitupun, Suhaimi turut berkongsikan bahawa Sabah Mountaineers turut memiliki kekuatan namun ada beberapa bahagian yang perlu diperbaiki pada masa akan datang.

"Keserasian itu masih lagi belum dicapai, tak macam Selangor yang mungkin dah berlatih lebih sebulan.

"Selain itu, kekuatan utama saya tengok masa itu pada tekong cuma kita masih ada masalah sikit di balingan tu, balingan belum 100 peratus tepat. Jadi kalau balingan itu tepat, mungkin tekong kita boleh service lagi dengan lebih baik," katanya.

Meskipun tidak layak ke Liga Premier, Suhaimi sempat mendedahkan perancangannya bagi musim depan.

"Untuk musim depan, kita akan cuba bawa beberapa wajah baharu yang kini dalam pemerhatian, kita akan cuba ketengahkan pemain yang lebih muda dan bawa mereka ke STL nanti.

"Tekong dari Thailand, Khathadet Srichan setakat ni dia tiada masalah, kita akan cuba kekalkan dia. Harap-harap dia tidak dipancing oleh negeri lain. Selain pemain import Thailand, kita akan kekalkan jurulatih sekarang.

"Untuk tahun depan kita akan cuba prepare lebih awal. Buat persediaan lebih awal. Tidak last minute macam tahun ni kerana seminggu saja kita dapat buat persediaan.

"Kalau pasukan lain berbulan sudah persiapan tapi persediaan kita seminggu saja," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram