Khabar duka dari Valencia, Syahmi Safari beri bayangan tamatkan musim lebih awal


  • Podium
  • Ahad, 22 Sep 2024

Musim ini, Syahmi hanya tampil dalam tiga aksi Liga Super dan diberikan peluang bermain satu perlawanan Piala FA. — Facebook/JDT

TONGGAK pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Syahmi Safari berkemungkinan akan mengakhiri musim 2024/2025 lebih awal rentetan masalah kecederaan yang dihadapinya ketika aksi bertemu Penang FC.

Dalam satu hantaran di Insta Story peribadinya, pemain berusia 26 tahun itu memuat naik foto hitam putih menyarung jersi JDT sambil menulis kapysen 'terima kasih musim 2024/2025'.

Kapsyen ringkas dan satu emoji sedih di laman Insta Story peribadinya itu secara tidak langsung menimbulkan spekulasi mengenai nasibnya dan memberi bayangan bahawa dia tidak lagi beraksi untuk saki-baki liga.

BACA LAGI: [VIDEO] Forestieri ubati kerinduan fans kelab lama di England, moga berulang bersama JDT

BACA LAGI: Lepas jadi rebutan kelab Timur Tengah, Forestieri dapat tawaran kelab Messi

Tonggak yang beraksi di posisi pertahanan kanan berkenaan dimasukkan sebagai pemain gantian kepada Oscar Arribas pada minit ke-76 ketika membantu JDT menewaskan Penang FC di Stadium Sultan Ibrahim dekat Iskandar Puteri, Johor pada Khamis lepas.

Sebelum ditimpa isu kecederaan, Syahmi sempat membuat satu hantaran bantuan bagi memastikan tuan rumah merakamkan kemenangan selesa 5-0 menentang The Phanters untuk mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu liga.

Selepas beraksi selama 14 minit, nasib tidak menyebelahi Syahmi apabila terpaksa dikeluarkan selepas mengalami kecederaan ekoran diterjah oleh pemain pertahanan Harimau Kumbang, Adib Ra’op.

WhatsApp Image 2024-09-22 at 13.38.07

Tangkap layar Insta Story Syahmi pada Ahad.

Susulan kecederaan dialaminya itu, JDT mengambil insiatif menghantar anak jati Kuala Selangor, Selangor terbabit ke Valencia, Sepanyol untuk mendapatkan rawatan yang lebih rapi.

Sekiranya khabar dari bumi Valencia tidak menyebelahi Syahmi, pemain Harimau Malaya berkenaan nampaknya tidak berpeluang menambah minit permainan pada musim ini selepas hanya tampil dalam empat perlawanan pada musim 2024/2025.

Secara kesimpulannya, musim ini Syahmi hanya tampil dalam tiga aksi Liga Super dan diberikan peluang bermain satu perlawanan Piala FA. Dari tiga empat aksi itu, bek kanan itu berhasil menyumbang satu gol dan dua hantaran bantuan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram