Coach MSS Selangor tak halang 'ubi muda' ke JDT, bukti Selangor kilang pemain


  • Podium
  • Isnin, 23 Sep 2024

Majoriti pemain dari negeri lain termasuklah dari Selangor gemar menerima tawaran daripada Johor selepas mempamerkan aksi cemerlang di kejohanan MSSM.

KEJOHANAN Majlis Sukan Sekolah (MSSM) untuk sukan bola sepak sudah melabuhkan tirainya pada Jumaat lalu dengan menyaksikan kontinjen MSS Johor berhasil membolot dua trofi iaitu dalam kategori Bawah-15 (B-15) dan B-18.

Manakala, bagi kategori B-12 pula menyaksikan pasukan MSS Selangor muncul juara selepas menewaskan MSS Johor menerusi sepakan penalti dengan kemenangan 5-4 selepas kedua-dua skuad terikat 1-1.

Sementara itu, pasukan B-15 Selangor pula sekadar mara ke saingan suku akhir selepas tewas 10-11 di tangan Johor dalam penentuan sepakan penalti apabila kedua-duanya terikat dengan keputusan 1-1.

BACA LAGI: Mahu jadi sebaris Azeem Fahmi, Olahragawan MSSM sedar pentingnya pelajaran

BACA LAGI: Jadikan Syihan Hazmi sebagai 'role model', prospek Selangor nekad sambung impian mak ayah

Selain skuad B-15 mereka, nasib sama juga berlaku kepada skuad B-18 Selangor yang terkandas di peringkat separuh akhir apabila tewas 0-2 di tangan pasukan tuan rumah, MSS Johor.

Walaupun kedua-dua pasukan senior tidak berpeluang mara ke peringkat akhir namun Pengerusi Teknik Bola Sepak Selangor, cikgu Samsul Ibrahim menyimpulkan pencapaian tahun ini antara yang terbaik buat negeri itu.

WhatsApp Image 2024-09-22 at 16.23.36

Sebahagian skuad B-12 MSS Selangor.

"Tahun lepas kita memang jatuh habis. Untuk B-12, kita berhasil comeback dan menang. Semua pelajar-pelajar kita adalah yang daripada sekolah. Kita ambil dan buat latihan selama kira-kira sebulan. Akhirnya dapat keputusan yang baik.

"Saya bagi kredit untuk jurulatih B-12, Lafizulnizam Abd Latif kerana dia memang bawa satu vibe baru. Tekanan memang hebat saya bagi pada dia. Saya cakap nak juara tahun ini. Alhamdulillah dapat.

"B-15 pun kita mempunyai kualiti pemain yang baik, semua pelajar daripada sekolah-sekolah dan kita gabungkan dengan pelajar dari Sekolah Sukan Bukit Jalil. Jadi ramuan memang dah baik cuma rezeki kita tak dapat untuk ke peringkat seterusnya.

"Bawah 18 pula sampai separuh akhir tapi tiada rezeki. Hampir separuh daripada pasukan N-18 adalah pelajar umur 16 tahun. Secara keseluruhannya, lapan pelajar umur 16 tahun. Yang lain umur 17 tahun. Berbanding pasukan JDT yang majoriti umur 17 tahun," katanya kepada Majoriti.

Melihat kepada corak kekalahan yang dialami MSS Selangor bagi kategori B-15 dan B-18 iaitu kedua-dua kalah dengan MSS Johor, Samsul tidak menafikan kualiti pemain negeri itu jauh lebih berkualiti dek bantuan Akademi Johor Darul Ta'zim (JDT).

WhatsApp Image 2024-09-22 at 16.23.34

Antara pemain skuad B-15 MSS Selangor.

Oleh itu, tidak terkejutlah jika Samsul sendiri mendedahkan bahawa rata-rata pemain dari negeri lain termasuklah dari Selangor gemar menerima tawaran daripada Johor selepas mempamerkan aksi cemerlang di kejohanan MSSM.

Misalnya, seramai empat orang 'ubi muda' Selangor mendapat tawaran ke JDT selepas mereka tampil dengan persembahan berkualiti sewaktu perlawanan akhir B-15 pada tahun lepas.

"Kita kena akui pemain dari akademi mereka (Johor) memang hebat. Walau pemain dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD) pun sukar bila bertemu dengan JDT. Walaupun tanpa pemain AMD dan tanpa pemain yang terbaik daripada negeri lain, kita dapat memberi cabaran hebat kepada JDT.

"Siapa tak nak bermain di tempat yang mempunyai fasiliti yang terbaik. Ibu bapa mana yang tak nak anaknya bermain di tempat tertinggi di Malaysia. Jadi pihak kami tidak menghalang jika mereka nak ke JDT. Itu adalah hak ibu bapa.

"Tentu keputusan mereka nak pilih yang terbaik. Kita pun ada tempat. Terpulang pada keputusan ibu bapa untuk tempatkan anaknya di tempat yang lebih baik," jelasnya yang tidak pernah kecewa dengan keputusan para pelajarnya jika memilih JDT.

WhatsApp Image 2024-09-22 at 16.23.35

Skuad B-18 MSS Selangor berhasil mara sehingga ke separuh akhir.

Di samping itu, Samsul selaku tenaga pengajar di peringkat akar umbi juga sudah mempunyai perancangan untuk menambah baik program dan difahamkan MSS Selangor akan bekerjasama dengan Selangor FC (SFC).

Dari program yang bakal dibuat dan pelbagai kejohanan di serata negeri berkenaan, Samsul menegaskan bahawa Selangor akan sentiasa menjadi pembekal pemain buat kelab bola sepak tanah air.

"Pihak MSS Selangor dan pihak SFC sedang merangkakan sesuatu yang terbaik untuk peringkat akar umbi. Kita cuba mula dengan program, jadi kita dah dapat kumpulkan pelajar lebih awal.

"Jika dapat melaksanakan program latihan awal, boleh bentuk pasukan. Sebelum ni, kita ada tempoh sebulan, jadi ia terlalu singkat. Jadi kita cuba buat program untuk bentuk satu pasukan yang kukuh bagi persediaan ke MSSS," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram