Selamatkan maruah Man United, penjaga gol muda Republik Czech disaran ganti Onana


  • Podium
  • Selasa, 16 Jul 2024

Penyokong lebih gemar jika Vitek (kanan) menggantikan Onana sebagai penjaga gol nombor satu The Red Devils. — Agensi

MANCHESTER United tewas dalam perlawanan pramusim pertama mereka menjelang saingan 2024/2025 apabila merekodkan kekalahan 0-1 ketika berdepan dengan pasukan Norway, Rosenborg pada Selasa.

Gol kemenangan Rosenborg dijaringkan oleh Noah Emmanuel Jean Holm pada masa kecederaan dan jaringan tunggal dari penyerang kelahiran Norway itu sudah cukup untuk membuatkan Man United tewas dalam perlawanan ini.

Meskipun tewas tipis namun nama penjaga gol muda Manchester United iaitu Radek Vitek menjadi sebutan susulan persembahan cemerlangnya menyekat serangan bertali arus dari pasukan tuan rumah.

BACA LAGI: Bakal jadi pemain kedua termahal JDT, bekas bintang Atletico Madrid hitung hari ke Harimau Selatan

BACA LAGI: Media Korea Selatan kecoh KPG undur diri jadi pengendali Harimau Malaya

Aaran Wan-Bissaka, Jonny Evans, Casemiro, Mason Mount dan Marcus Rashford adalah antara nama besar yang dipertaruhkan Eric Ten Hag untuk menentang Rosenborg, selain pengendali itu juga memberi peluang kepada bakat muda lain.

Ten Hag wajar berterima kasih kepada Vitek kerana menyelamatkan maruah Man United apabila cemerlang menepis percubaan pasukan tuan rumah terutama sepanjang 45 minit pembukaan permainan.

Legenda Man United, Ronny Johnsen turut terpesona dengan persembahan bintang berketinggian enam kaki enam inci itu dan menyifatkan Vitek seorang penjaga gol yang cekap menjalankan tugasnya.

“Penyelamatan yang dia lakukan adalah sangat penting dan untuk perlawanan pertamanya, ia memberi impak positif buat dirinya serta pasukan. Dia melakukan penyelamatan yang sangat baik," puji legenda itu.

Selain Johnsen, penyokong turut melemparkan kata-kata positif kepada Vitek sehingga ada peminat lain lebih gemar jika pemain muda itu menggantikan Andre Onana sebagai penjaga gol nombor satu The Red Devils. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram