[VIDEO] Fenerbahce gagal manfaat 'bantuan' pengadil menang di laman sendiri


  • Podium
  • Ahad, 22 Sep 2024

Osimhen (tengah) membuat satu hantaran bantuan dalam perlawanan menentang Fenerbahce pada Ahad. — Agensi

GALATASARAY menunjukkan kelas berbeza apabila mudah menewaskan musuh tradisi mereka, Fenerbahce dengan keputusan 3-1 dalam aksi derbi paling sengit di saingan Super Lig Turki pada Ahad di Stadium Ulker Fenerbahce dekat Istanbul, Turkiye.

Fenerbahce yang dijangka berpeluang mendapatkan tiga mata dek beraksi di laman sendiri itu tidak berhasil memanfaatkan kelebihan berkenaan dan sebaliknya membiarkan skuad The Lion berpesta gol di laman mereka.

Babak pertama permainan menyaksikan penjaga gol pasukan tuan rumah iaitu Dominik Livakovic meledak gol di gawang sendiri apabila cuba menyelamatkan percubaan pemain tengah Galatasaray, Lucas Torreira pada minit ke-20.

BACA LAGI: Man City boleh jatuh liga jika bersalah, kes salah laku 115 sudah bermula

BACA LAGI: Manchester City kena denda lebih RM7 juta kerana lambatkan perlawanan

Lapan minit selepas jaringan sendiri Livakovic, pemain tengah Belgium Galatasaray, Dries Mertens pula menggandakan jaringan untuk The Lion selepas dia berhasil menyempurnakan hantaran dari penyerang Nigeria, Victor Osimhen.

Misi meranapkan impian skuad kendalian Jose Mourinho untuk menang di laman sendiri diteruskan lagi apabila pemain tengah Brazil Galatasaray, Gabriel Sara menambah gol ketiga pada minit ke-59 dan meletakkan The Lion 3-0 di hadapan.

Seperti perlawanan lain, aksi di Stadium Ulker Fenerbahce itu juga diselit dengan isu kontroversi apabila skuad The Yellow Canaries dihadiahkan sepakan penalti selepas pemain mereka, Fred didakwa dikasari.

Respons dari penyokong bola sepak di media sosial bagaimanapun melihat tiada aksi terjahan atau sebarang bentuk kekasaran berlaku kepada Fred sehingga ada segelintir peminat melihat ia hanya satu bentuk bantuan yang diberikan pengadil kepada pasukan tuan rumah.

Hasil daripada insiden kontroversi itu, pasukan tuan rumah membawa pulang gol saguhati menerusi jaringan penalti dari penyerang Bosnia, Edin Dzeko pada minit ke-63.

Keputusan 3-1 itu menyaksikan Galatasaray menamatkan rentetan 32 perlawanan Fenerbahce tanpa kalah dalam Super Lig. Galatasaray memenangi kesemua enam perlawanan mereka untuk memperoleh 18 mata. Fenerbahce di tempat kedua ketinggalan lima mata di belakang pesaing utama mereka.

Dalam aksi seterusnya, Galatasaray akan menentang pasukan bawahan, Kasimpasa dalam perlawanan di tempat sendiri pada 28 September. Manakala, Fenerbahce pula akan berkunjung ke Antalyaspor pada minggu depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram